GEORGE TOWN – Pengguna air di Daerah Barat Daya terutama di Bayan Lepas dan Teluk Kumbar, di sini, berdepan kegelisahan ekoran gangguan bekalan air akibat paip di dasar Sungai Perai pecah buat kali ketiga, petang kelmarin.
Rata-rata penduduk di beberapa kawasan terjejas itu mula meluahkan kerisauan disebabkan kejadian yang berulang sehingga mengganggu aktiviti harian terutama yang mempunyai bilangan isi rumah yang ramai.
Bukan setakat itu, majoriti yang ditemui juga mengatakan tidak sempat menyimpan stok air berbanding ketika berlaku gangguan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari lalu.
Seorang penduduk di Flat Taman Sahabat, Teluk Kumbar, Faridah Hashim, 58, berkata, dia kini umpama tinggal dalam keadaan serba tidak menentu selain tidak dapat tidur nyenyak setiap kali memikirkan masalah ketiadaan bekalan air.

Jelas suri rumah itu lagi, dia tidak sanggup lagi berdepan masalah yang sama dan berlarutan sehingga lebih 48 jam memandangkan tinggal di aras empat flat berkenaan.
“Kejadian berlaku amat mengejut, saya memang tak sempat simpan air petang semalam (kelmarin). Kawasan kediaman kami mula terputus bekalan kira-kira pukul 5.30 petang.
“Letih angkut air naik ke rumah di tingkat empat selama lima hari pada minggu lalu masih belum hilang, ini berlaku lagi.
“Memang tak sanggup nak berdepan situasi sebegini lagi. Kediaman kami tiada tangki simpanan air utama seperti flat lain, cuma mengharapkan dua tangki statik yang ditempatkan di bawah flat untuk kegunaan kecemasan penduduk di empat blok di sini,” katanya di sini, semalam.
Jelasnya lagi, disebabkan bekalan simpanan air yang tidak mencukupi, anak dan cucunya hari ini (semalam) langsung tidak dapat mandi untuk ke sekolah.
Sementara itu, seorang warga emas, Hasma Ismail, 63, pula memberitahu, dia tiada upaya lagi untuk mengangkut air dari tingkat bawah rumahnya setiap kali berdepan masalah bekalan.
“Ini berlaku sudah kali ketiga. Usia sebegini sepatutnya kami duduk dan rehat di rumah tetapi kali ini, saya dengan suami sekali lagi kena angkut air dari bawah untuk naik ke rumah di tingkat tiga.
“Kami rasa semakin terseksa. Mujur air dalam bekas tong biru yang disimpan minggu lalu masih ada yang belum dipakai.
“Harap jasa baik pihak terlibat percepatkan kerja-kerja baik pulih paip bocor. Kami sudah tidak sanggup hidup dalam tekanan sebegini, apatah lagi apabila kerja-kerja pelencongan paip dikatakan mungkin memgambil masa selama enam hari,” ujarnya.














