JOHOR BAHRU – Situasi banjir di negeri ini dijangka kekal bagi tempoh beberapa hari lagi walaupun cuaca semakin baik dengan 80 mangsa masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 10 pagi hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, mangsa terdiri daripada 22 keluarga itu melibatkan dua daerah iaitu Batu Pahat dan Segamat.
“Di Segamat, terdapat seramai 65 mangsa ditempatkan di dua PPS, manakala di Batu Pahat pula seramai 15 mangsa yang berlindung di sebuah PPS.
“Banjir yang melanda Johor sejak awal bulan ini bagaimanapun tidak merekodkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor memberitahu, Jabatan Meteorologi tidak mengeluarkan amaran ribut petir.
“Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan melibatkan Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. Paras air Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat masih melebihi paras bahaya, begitu juga Empangan Labong, Mersing,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azmi turut memaklumkan dua laluan masih ditutup untuk kenderaan di Lingkaran Kahang Barat, Kluang akibat cerun runtuh. – KOSMO! ONLINE