BARU-BARU ini, perbualan bersama seorang rakan penulis banyak berkisar tentang persekitaran di tempat wanita itu berkerja.
Dakwanya suasana di situ kurang selesa atau seakan berada di kem tentera.
Sebagai wanita, mungkin jiwanya sedikit lembut dan kurang terbiasa dengan suasana ‘keras’ yang digunakan seperti ketua menggunakan nada tinggi ketika memberi arahan kepada orang bawahan.
Jika dilihat, tidak semua individu boleh mengadaptasi pendekatan sedemikian, malah mungkin akan ada berasa tertekan berikutan sering digunakan nada keras atau dimarahi ketika diberikan sesuatu tugasan dan teguran.
Dalam konteks ini, mungkin majikan atau ketua sesebuah organisasi melihat pendekatan kasar digunakan sebagai kaedah untuk memimpin dan mendidik secara tegas, namun secara tidak langsung, cara itu turut menjejaskan kesihatan mental pekerja.
Mengulas mengenai situasi itu, Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia, Firdaus Mansor berkata, pendekatan keras dan kasar digunakan seseorang ketua dalam sesebuah organisasi boleh diterjemahkan sebagai elemen dalam bentuk kepimpinan bersifat autokratik.
Katanya, pemimpin autokratik boleh didefinisikan sebagai seseorang ketua yang tegas, keras dan mungkin bersifat kasar terhadap pengikutnya dengan tidak mempedulikan pandangan dan pendapat mereka asalkan matlamat organisasi tercapai.
“Biasanya, pemimpin autokratik sentiasa mempraktikkan komunikasi sehala dengan memberi arahan supaya dituruti pengikutnya.
“Selain itu, dalam keadaan tertentu, gaya kepimpinan autokratik mungkin berkesan dalam sesebuah organisasi seperti ketenteraan, namun kurang sesuai pada kelompok pekerja seperti pekerjaan di pejabat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, kepimpinan autokratik juga boleh memberi kesan emosi kepada pekerja yang mana golongan itu akan sering berasa takut terutamanya ketika bekerja.
“Pendekatan keras itu boleh menyebabkan pekerja mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, malah mungkin mewujudkan kelompok kakitangan yang memberontak.
“Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan persekitaran kerja menjadi tidak seronok, namun pada masa sama boleh menurunkan kualiti pekerjaan, seterusnya menyebabkan matlamat organisasi sukar dicapai,” katanya.
Susulan itu katanya, sebagai seorang pemimpin atau ketua, pendekatan mungkin sesuai digunakan bagi mewujudkan persekitaran kerja selesa ialah menerusi kaedah kepimpinan Laissez-faire.
Gaya Laissez-faire boleh diterjemahkan sebagai satu bentuk kepimpinan yang menyerahkan keputusan kepada pekerja sambil ketua kekal bersedia memberikan maklum balas apabila perlu.
“Pemimpin seperti ini biasanya sangat jarang untuk memberikan komen mengenai aktiviti ahli atau mengganggu kerja, tetapi akan berbuat demikian apabila perlu.
“Jadi, ia secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada pekerja apabila menerima sesuatu tugasan, seterusnya mewujudkan budaya kerja positif,” ujarnya.














