PETALING JAYA – Perkhidmatan menyewakan diri sendiri sebagai peneman kepada orang lain berpotensi menjadi salah satu pilihan kerjaya tetap dalam kalangan pencari kerja pada masa hadapan.
Ini kerana, servis menemani atau membantu orang lain dijangka dapat berkembang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang di negara ini.
Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, servis peneman ini sememangnya sudah popular di luar negara terutama Jepun apabila penemannya mampu meraih pendapatan lebih RM300 sejam.
Katanya, perkhidmatan tersebut juga mampu memenuhi keperluan penjagaan pihak tertentu terutamanya golongan warga emas yang sememangnya memerlukan peneman dalam memudahkan urusan harian mereka.
“Servis peneman ini sudah sekian lama tersedia di negara-negara luar terutama bagi menemani warga emas yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan.
“Servis ini berpotensi besar untuk berkembang dalam anggaran tempoh lima hingga 10 tahun bergantung tahap kesedaran dan penerimaan rakyat Malaysia tentang servis yang disediakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Siti Fatimah, antara kebaikan servis peneman ini adalah dapat memastikan warga emas atau individu yang berkeperluan khas atas faktor-faktor tertentu dijaga rapi dan selamat.
“Ia juga dapat mengisi kesunyian dan teman bagi mereka yang bersendirian atau memilih untuk hidup sendiri tanpa bersama anak-anak yang sibuk serta memudahkan urusan penjagaan dan rawatan kesihatan atau keperluan seharian individu berkeperluan,” jelasnya.
Semalam, muka depan Kosmo! melaporkan perkhidmatan menyewakan diri sendiri sebagai peneman kepada orang lain bagi melakukan pelbagai urusan mula menjadi trend dalam kalangan rakyat negara ini sehingga mampu memberikan pendapatan lumayan sekitar RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.
Antara servis yang disediakan adalah menjadi peneman ketika makan, untuk berborak, meluahkan masalah, membantu ke hospital serta menguruskan hal-hal bagi membeli barangan dapur.
Dalam pada itu, Siti Fatimah turut mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam menyediakan servis peneman kepada masyarakat di negara ini.
“Wajar disediakan garis panduan atau tatacara khusus bagi perkhidmatan ini supaya tahap kemahiran peneman itu adalah bersesuaian bagi memastikan servis ini bukan sekadar diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Ini kerana, kesediaan perkhidmatan membolehkan servis peneman ini memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
















