PETALING JAYA – Perkhidmatan peneman bukan sahaja menghilangkan rasa sunyi setiap kali bersendirian, malah turut meringankan beban orang lain.
Itu yang dirasai seorang jurusolek sepenuh masa, Nazirah Mohamad, 25, yang mengakui menggunakan servis peneman sebanyak sekali dalam seminggu semata-mata untuk menemaninya ketika bertugas di luar kawasan.
Katanya, perkhidmatan berkenaan sangat membantu bagi golongan sepertinya terutamanya wanita yang perlu memandu jauh dan keseorangan.
“Setiap kali ada ‘job’ di luar, saya memang kerap guna perkhidmatan ini. Paling kerap seminggu sekali.
“Awalnya saya guna servis ini masa tengah mengandung dan perlu ada orang temankan pergi solek pelanggan yang mana saya biasanya akan keluar rumah pada awal pagi,” katanya.
Dia yang tinggal di Johor berkata, adakalanya peneman yang dibayar RM50 untuk kira-kira empat jam itu turut bertindak sebagai pembantu ketika dia sedang menjalankan kerja-kerja menyolek pelanggan.
Seorang pekerja swasta, Syuhada Md Yusoff, 32, berkata, dia pula sanggup berhabis sekitar RM200 sebulan bagi mengupah peneman untuk membantu membawa serta menemani bapanya ke hospital.
Menurut Syuhada, bapanya, Md. Yusoff Zain, 72, merupakan pesakit buah pinggang tahap kronik dan baru sahaja menjalani pembedahan selepas mendapat penderma organ tersebut dua bulan lalu.
“Hampir lima tahun juga abah tunggu penderma yang sesuai dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Kini abah perlu ke hospital dua kali sebulan untuk rawatan susulan,” katanya.
Bagi seorang usahawan produk, Shahibul Rosdi, 35, dia mengakui sering mendapatkan perkhidmatan peneman dua hingga tiga bulan sekali bagi menemaninya melancong ke luar negara.
“Saya akan cari peneman lelaki untuk teman saya melancong. Soal penginapan, tiket penerbangan dan makan, semua saya tanggung. Itu kira bayaran buat mereka. Apa yang penting, mereka berikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
















