fbpx
ADA individu sanggup mengeluarkan duit semata-mata untuk mencari peneman bagi mengisi masa lapangnya dengan berbual dan makan bersama. – GAMBAR HIASAN

Servis peneman halal, RM20 satu jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Siapa sangka perkhidmatan menyewakan diri sendiri sebagai peneman kepada orang lain bagi melakukan pelbagai urusan mula menjadi trend dalam kalangan rakyat negara ini.

Malah, hasil daripada perkhidmatan ini juga dianggap lumayan dan mampu memberikan pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

Antara servis yang disediakan adalah menjadi peneman ketika makan, untuk berborak, meluahkan masalah, membantu ke hospital serta menguruskan hal-hal bagi membeli barangan dapur.

Seorang lelaki yang menjalankan perkhidmatan ini, Muhd. Sufi Shafai, 35, berkata, dia telah terlibat dalam servis peneman ini sejak enam bulan lalu.

Katanya, sasaran pelanggannya tidak terhad dan tanpa mengira umur, jantina selagi mana mereka mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Saya sediakan servis teman orang ini dengan caj sekitar RM24 sejam dan ada caj lain iaitu melibatkan kos pengangkutan ke lokasi yang ditetapkan.

“Kebanyakan tempoh servis adalah antara pagi hingga petang dan jika ada pelanggan yang memerlukan servis peneman di sebelah malam, saya akan kenakan caj dua kali ganda,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Bercerita lanjut mengenai idea servis peneman ini, Muhd. Sufi berkata, ia berlaku secara spontan apabila dia sering menemani mak angkatnya dalam melakukan pelbagai aktiviti harian.

“Saya mendapat ilham untuk lebih serius dalam servis peneman ini selepas sering bantu mak angkat. Mak angkat saya ini sudah tidak mempunyai suami yang telah meninggal dunia dan segala urusan hariannya, dia akan cari saya.

“Selain itu, dia juga selalu minta saya temankan untuk beli barang, minta tolong hantarkan barang dan cuci longkang.

“Sebab itu bila saya fikirkan, kenapa tidak saya fokus servis macam ini. Kelebihannya, saya ada banyak masa dengan keluarga dan jadual kerja pun boleh susun sendiri,” jelasnya.

Muhd. Sufi juga mengakui, dia mempunyai lebih daripada lima pelanggan tetap.

“Ada seorang pelanggan saya memang setiap bulan dalam dua kali akan dapatkan khidmat untuk membantu mengangkat suaminya yang lumpuh dari katil untuk dimasukkan ke dalam kereta.

“Selain itu, ada seorang pak cik atau mesra disapa Pak Ali yang mana setiap minggu akan bayar saya semata-mata jadi teman borak sambil makan.

“Ada ketikanya, Pak Ali minta saya tolong teman dia ke pejabat pos untuk perbaharui lesen memandu selain ke hospital untuk rawatan kesihatan,” kongsinya.

Bagaimanapun kata Muhd. Sufi, antara risiko dihadapi sepanjang menyediakan servis peneman adalah diganggu oleh individu toksik yang mahukan perkhidmatan ‘teman di bilik’ atau sebagai ‘pemuas nafsu’.

“Ramai juga yang tidak faham apa itu servis peneman. Ada saja individu toksik yang anggap peneman ini sebagai pasangan pemuas nafsu mereka,” katanya.

Seorang peneman lain, Nur Fatiha, 22, yang mempunyai kelulusan dalam Diploma Kaunseling Islam, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mengakui bidangnya itu menjadi kelebihan dalam menawarkan servis tersebut terutama dalam mendengar luahan daripada pelanggan.

“Saya pernah terima ‘job’ temankan orang pergi jalan sebab dia tiada tempat untuk meluah. Disebabkan saya ada latar belakang kaunseling, saya senang jadi pendengar yang baik.

“Bukan itu saja, teman ibu-ibu ada anak kecil nak ‘me time’ pun pernah. Tugas saya cuma uruskan bayi, bagi makan dan ikut ibu itu ke mana-mana,” kongsi­nya.

Menetapkan bayaran sekitar RM15 ke RM30 sejam, Nur Fatiha berkata, dia berminat untuk memulakan kerjaya ini sebagai pendapatan sampingan kerana ia tidak memerlukan modal.

“Pernah dapat pelanggan dari Batu Pahat, Johor minta saya teman dia berjalan. Namun, saya tidak dapat bantu kerana faktor jarak dan dari situ saya sedar ramai perlukan servis ini,” katanya.

Bagi Nor Azlina Mahmood, 43, pula, dia yang mula menawarkan perkhidmatan ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 lalu turut menawarkan servis peneman malam bagi golongan wanita.

Bagaimanapun katanya, kate­gori itu belum dihebahkan lagi berikutan bimbang ia disalah erti terutamanya oleh mereka yang sering berfikiran negatif.

“Mulanya niat saya mahu membantu dan dalam masa sama jana pendapatan sam­pingan. Ia jadi lagi mudah sebab saya juga buat e-hailing jadi caj
pengangkutan sudah dimasukkan dalam caj servis.

“Ini termasuk servis teman tidur untuk wanita. Hal ini kerana ada golongan wanita yang takut untuk tinggal seorang diri terutamanya pada waktu malam.

“Ada juga golongan ibu-ibu tua yang anaknya jauh. Cuma saya tidak uar-uarkan servis ini sebab risau ada yang salah tafsir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN