fbpx
Gambar hiasan

Poligami bukan ‘madu’ tetapi racun bila suami tidak adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK sekian lama, poligami menjadi satu isu hangat diperkatakan banyak pihak. Jika ada individu berpengaruh mengambil keputusan berpoligami, pastinya berita itu akan tular seantero dunia.

Gelaran ‘penyondol’ pula diberikan kepada wanita yang mengahwini suami orang.

Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli berkata, isu poligami sentiasa menjadi bualan hangat dalam masyarakat dan orang ramai pula bertindak umpama penyelamat serta pelindung kepada perempuan yang dimadukan.

“Berbagai komentar buruk dan makian dilemparkan terhadap suami dan isteri baharu kerana merampas kebahagiaan isteri tua. Walau bagaimanapun, umat Islam perlu berhati-hati dalam mengaitkan amalan poligami dengan istilah penyondol.

“Istilah poligami mengalami demonologi iaitu pencitraan sesuatu yang dihalalkan syarak dengan sesuatu yang buruk dan kejam,” katanya.

Tambahnya, mengelarkan amalan poligami dengan istilah penyondol sangat menjengkelkan kerana menyondol adalah sifat khusus bagi haiwan seperti khinzir sedangkan poligami adalah mereka yang berkahwin secara sah menurut syariat.

Mengulas lanjut, Mohd. Anuar menjelaskan, kita boleh tidak setuju dengan amalan poligami atas dasar pandangan peribadi tetapi tidak mempunyai kapasiti untuk mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah SWT.

“Ia adalah amalan yang diharuskan oleh syariat dan hukumnya kekal hingga hari kiamat. Asasnya, syariat menghalalkan poligami untuk memberi ruang kepada mereka yang memerlukan, khususnya kes isteri uzur, mendapatkan zuriat atau membela nasib anak yatim,” jelasnya.

Tambahnya, ajaran Islam ideal yang dianjurkan jelas menunjukkan poligami adalah pembelaan kepada perempuan dan anak-anak yatim dan dengan tegas bahawa keadilan adalah persyaratan utama, iaitu meletakkan sesuatu sesuai dengan kedudukannya dari segi nafkah dan giliran hari.

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat Islam jelasnya, keistimewaan ini telah disalahgunakan dengan tujuan hawa nafsu semata-mata dan disebabkan itu poligami meninggalkan trauma dan parut luka mendalam.

Mohd. Anuar berkata, situasi ini berlaku disebabkan ramai suami dan bapa yang mengamalkan poligami telah mengabaikan salah satu pihak yang dimadukan.

“Sang bapa tidak peduli dengan isteri tua dan anak-anak, mendera pasangan secara emosi dan fizikal, tidak menyediakan nafkah rumah tangga dan tidak memberikan giliran yang adil antara pasangan dan madu tidak lagi menjadi ubat penawar tetapi menjadi racun dalam stigma masyarakat.

“Apa yang jelas, tindakan lelaki yang berpoligami tersebut telah jauh dengan apa yang telah ditetapkan oleh syariat,” katanya.

Tegasnya, keadaan suami yang tidak berkemampuan, mendera dan mengabaikan nafkah jelas bertentangan dengan panduan syariat yang meletakkan adil syarat utama.

Walau bagaimanapun, tidak semua kes poligami menunjukkan penderitaan dan penderaan terhadap pasangan dan anak-anak kerana masih masih ada suami yang berlaku adil dalam rumah tangga tetapi mereka tidak mendapat publisiti media sewajarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN