IPOH – Keenakan masakan hasil air tangan tukang masak Siam terutamanya tomyam menjadi dambaan orang ramai, namun keadaan itu menekan peniaga apabila sebilangan pekerja dari negara Gajah Putih berkenaan tidak setia.
Pekerja Siam terutama tukang masak dikatakan suka ‘melompat majikan’ dengan ada antaranya bekerja hanya seminggu atau enam bulan sahaja sebelum cabut lari.
Menurut seorang pemilik restoran, Muhammad Nasir Mohd. Zainal, 53, dia terpaksa berdepan dengan kerenah serba serbi tidak cukup tukang masak dari Thailand sejak berkecimpung dalam industri makanan lebih 20 tahun lalu.
“Berdasarkan pengalaman saya sendiri, mereka ini dibayar gaji hari antara RM80 hingga RM100 sehari. Jika bekerja penuh tanpa cuti dalam sebulan, mereka boleh menerima pendapatan sekurang-kurangnya RM2,400,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurutnya, pekerja dari Thailand masuk ke negara ini secara sah dan bekerja tanpa mengikat sebarang kontrak dengan majikan masing-masing selain ditawarkan penginapan bersama pekerja lain.
“Jadi, gaji diterima hanya untuk membeli barangan peribadi dan dihantar kepada keluarga di Thailand. Namun apabila ada yang menerima tawaran gaji lebih tinggi, majikan sedia ada ditinggalkan begitu sahaja.
“Lebih menyakitkan hati, mereka bekerja di restoran yang terletak berhampiran dengan premis perniagaan yang ditinggalkan sebelum ini, bahkan sikit pun tidak berasa bersalah apabila terserempak dengan majikan lama,” katanya.
Situasi sama dialami peniaga, Mohd. Junaidi Yunos, 48, yang berdepan masalah kualiti masakan dan akhirnya membuatkannya kehilangan pelanggan.
Katanya, pelanggan semakin lama semakin menjauh apabila menyedari juadah yang ditawarkan tidak seenak dahulu.
“Jika mengikut pengalaman sendiri, pernah tukang masak dari Thailand ini lari dalam tempoh tiga bulan dia diambil bekerja. Ada juga yang hilang selepas enam bulan berkhidmat dengan restoran saya.
“Apabila mereka lari, saya sendiri terpaksa mengambil peranan sebagai tukang masak dan jika mengambil tukang masak baharu, kami terpaksa meluangkan masa pula untuk melatih golongan itu,” katanya.
Mohd. Junaidi berkata, masalah tukang masak lari ini ekoran wujudnya lambakan restoran yang menawarkan masakan ala Thailand, menjadikan golongan berkenaan tidak kisah untuk melompat dari satu majikan ke majikan yang lain.
Sementara itu, seorang peniaga, Haslinda Kamaluddin, 45, berkata, ada juga tukang masak yang lari ekoran bergaduh dengan rakan sekerjanya.
“Apabila berlaku kekosongan jawatan di restoran, maka ramai dalam kalangan tukang masak Siam ini akan datang memohon kerja, namun tak semua pandai masak,” katanya.
Tambahnya, ada juga kes tukang masak dari Thailand membuka restoran sendiri selepas melarikan diri.
“Saya tidak tahu macam mana mereka buat tetapi saya pernah nampak mereka berniaga di satu kawasan.
“Apabila disiasat, restoran itu diusahakan tukang masak berkenaan bersama rakan senegara dan mengupah pula pekerja Siam serta warga tempatan,” katanya.
















