fbpx
BANTUAN bantuan kredit tunai RM100 eMadani boleh ditebus bermula pada 4 Disember lalu.

Kaut untung beli kredit eMadani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pemberian bantuan RM100 eMadani kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak memberi ke­sempatan buat segelintir individu mengaut keuntu­ngan dengan menawarkan perkhidmatan penebusan tunai.

Seorang peniaga restoran meraih sebanyak RM4,000 apabila membantu hampir 200 penduduk di negeri ini yang memerlukan tunai secara segera.
Wanita dikenali sebagai Atikah, 45, berkata, perkhidmatan itu ditawarkan sejak hari pertama eMadani dikreditkan kepada individu yang layak menerusi e-dompet pada 4 Disember lalu.

“Saya mengenakan caj seba­nyak RM20. Mereka (penerima eMadani) yang bersetuju akan menerima RM80 yang akan dibayar secara tunai atau pemindahan ke dalam akaun bank.

“Wang RM20 itu adalah upah, saya mengoperasikan sebuah restoran dan berdaftar, oleh itu transaksi ini menjadi lebih mudah.

“Saya menawarkan per­khidmatan ini kepada penduduk kampung yang mana rata-rata mereka lebih banyak berbelanja menggunakan wang tunai di kedai-kedai berdekatan. Jadi niat saya hanya untuk memudahkan urusan mereka,” katanya kepada Kosmo! semalam.

ADA individu yang menawarkan perkhidmatan penebusan tunai menerusi media sosial. – GAMBAR HIASAN

Atikah memberitahu, dia mengiklankan perkhidmatan penebusan kredit eMadani kepada wang tunai itu melalui aplikasi WhatsApp.

“Kebanyakan urusan penebusan tunai ini dijalankan melalui WhatsApp sahaja. Jika mereka tinggal jauh, saya menghantar kod QR akaun perniagaan.

“Selepas mereka membayar menggunakan eMadani berserta bukti pembayaran, saya akan memindahkan wang RM80 ke akaun bank mereka.

“Bagi penduduk kampung dan warga emas pula, saya akan ke rumah mereka untuk membantu menebus kredit eMadani,” ujar­nya.

Pemilik kedai runcit, Izati, 40, pula memberitahu, dia sudah membantu hampir 50 penduduk kampung untuk menebus kredit eMadani kepada tunai di premisnya dan mengenakan upah sebanyak RM5.

“Niat saya hanya untuk membantu warga emas yang tidak mahir menggunakan e-dompet. Saya anggap RM5 itu sebagai saguhati kerana memudahkan urusan mereka,” katanya.

Di Kuala Lumpur, kira-kira 100 individu masih menawarkan perkhidmatan penebusan tunai dan pemindahan kredit eMadani ‘peer-to-peer’ dengan caj RM3 hingga RM10.

Meskipun kerajaan sudah mengeluarkan larangan tersebut sebelum ini, namun masih ada pihak yang masih berdegil.

Menurut kakitangan awam, Siti, 42, ada individu yang me­ngenakan caj sebanyak RM5 kepada individu yang layak mendapat bantuan e-tunai RM100.

“Mungkin ada yang beritahu penebusan tunai ini tidak dibenarkan, namun saya terpaksa berbuat demikian kerana terdesak memerlukan tunai,” katanya.

Bagi Alif Iman, 24, pula, dia menukar bantuan e-kredit itu kepada tunai bagi memudahkannya membuat pembelian makanan dan minuman di premis berhampiran kediamannya yang tidak berdaftar untuk pembelian menggunakan kredit eMadani.

Pekerja sektor swasta, Nafisah, 28, pula berkongsi pengalaman dikenakan caj sebanyak RM3 ketika membuat penebusan tunai eMadani.

Dalam pada itu, Perunding kewangan, Afyan Mat Rawi berkata, kerajaan perlu mengadakan kempen pendidikan dan kesedaran kepada rakyat mengenai kepen­tingan menggunakan eMadani secara langsung untuk pembe­lian di kedai-kedai fizikal.

“Dengan itu, ia dapat me­nyampaikan maklumat yang jelas tentang cara terbaik menggunakan bantuan tersebut selain mengurangkan keinginan untuk melakukan ‘cash-out’,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Afyan turut menekankan tentang keperluan menyediakan kemudahan untuk menukar eMadani dengan barangan atau perkhidmatan bernilai penuh tanpa melibatkan ‘cash-out’.

“Ini dapat dilakukan dengan kerjasama bersama peniaga tempatan untuk menerima eMadani sebagai bentuk pembayaran sepenuhnya,” jelasnya.

Tambahnya, pihak berkuasa perlu menetapkan peraturan yang jelas dan menguatkuasakan hukuman bagi pihak yang terlibat dalam aktiviti ‘cash-out’ yang merugikan penerima bantuan.

“Kerjasama bersama agensi penguatkuasa untuk memastikan kepatuhan kepada undang-undang dapat meningkatkan penggunaan eMadani di kedai fizikal.

“Dengan mengambil langkah-langkah ini, saya percaya bahawa kerajaan dapat mencipta persekitaran yang lebih kondusif untuk penggunaan eMadani secara efektif, sambil mengurangkan potensi penyalahgunaan dan ‘cash-out’ yang tidak perlu,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN