GEORGE TOWN – Sebahagian besar penduduk di negeri ini terutama di bahagian pulau kini bersiap sedia berdepan gangguan bekalan air berjadual selama hampir 96 jam bermula 10 Januari ini apabila masing-masing mula membuat persiapan membeli bekas simpanan air.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata penduduk dilihat mula membanjiri premis perniagaan barangan plastik, selain ada yang membeli tong dram bersaiz 170 hingga 200 liter dari pembekal di Seberang Perai dan Kedah.
Ketika ini, ada juga pihak atau orang tengah yang mula mengambil tempahan bagi pembelian tong air bersaiz 200 liter tanpa penutup pada harga jualan antara RM55 hingga RM75 seunit.
Seorang penduduk Bayan Lepas, Huda IIlyas, 39, berkata, dia membelanjakan RM352 untuk pembelian empat tong air bersaiz 170 liter pada harga RM88 seunit sebagai persiapan gangguan bekalan air selama tempoh empat hari bermula Rabu ini.
Menurutnya, dia tiada pilihan dan terpaksa menyediakan lebih banyak tong simpanan air yang lebih besar untuk digunakan oleh keluarganya yang ramai.
“Kami yang tinggal di daerah Barat Daya trauma setiap kali dimaklumkan mengenai gangguan bekalan air melibatkan tempoh lebih sehari. Kami sebelum ini sudahpun lalui masalah sama selama hampir empat hari akibat paip pecah di dasar Sungai Perai.

“Ketika itu, bekalan air sudah terputus sebaik masuk hari kedua gangguan air berlaku. Paling sukar apabila tiada langsung kelibat lori tangki masuk ke kawasan rumah sehingga terpaksa menumpang tidur di rumah saudara di Tanjung Tokong.
“Kali ini, kami membuat persiapan awal bagi menghadapi detik sukar itu nanti,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Penduduk Bayan Baru, Aisyah Fatimah Suhaimi, 46, pula berkata, dia cuma membeli seunit tong air biru bersaiz 200 liter yang mampu bertahan selama dua hari.
“Cukup untuk digunakan sebagai keperluan harian saya, suami dan dua anak yang masing-masing berusia 10 dan 14 tahun nanti,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, gangguan selama empat hari itu tidak dapat dielakkan bagi menampung kerja-kerja penggantian injap utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth, dekat sini.
















