GERIK – Seorang lelaki tidak menyangka kata-kata ibunya yang mahu ‘pergi’ lama menjadi petanda bahawa wanita itu akan pergi meninggalkan keluarga untuk selama-lamanya.
Dalam kejadian awal pagi tadi, Rahmah Zainon, 76, dan anaknya, Razilawati Mohamad, 43, ditemukan rentung di dalam sebuah pondok dalam kejadian kebakaran di dusun buah-buahan di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda di sini.
Anak mangsa, Saudin Mohamad, 37, berkata, hasrat ibunya untuk tinggal lebih lama di dusun mereka itu telah beberapa kali disuarakan sebelum ini termasuk kepada jiran mereka di Kuala Ketil, Kedah.
Katanya, walaupun berasa pelik dengan kata-kata ibunya itu, dia tidak terlalu memikirkan perkara tersebut dan menganggap ia hanya perbualan biasa.
“Mak cakap nak pergi lama dan mahu bawa baju lebih. Ketika itu, saya tak dapat tangkap (memahami) maksudnya sebab saya fikir mahu tinggal lama di dusun pun nak buat apa.
“Memang rasa pelik sikit, tapi perkara itu tak terluahkan. Bila terjadi kejadian (rentung) ini, barulah kita sedar. Kita pun tak sangka perkara macam ini boleh jadi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Gerik di sini hari ini.
Menurut anak kelapan daripada sembilan beradik itu, dia dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran tersebut pada pukul 4 pagi selepas dihubungi jiran di dusun berhampiran tanpa dimaklumkan keadaan sebenar ibu dan kakaknya.
Katanya, dia yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.30 pagi bagaimanapun terperanjat apabila mendapati pondok yang dibina sejak kecil, musnah terbakar dengan ibu dan kakaknya rentung.
“Kami datang ke sini pada Jumaat lalu untuk membersihkan dusun dan ada buat jamuan sikit kelmarin. Adik-beradik yang lain pun ada datang sekali.
“Kami pulang semula pada pukul 9 malam tadi. Emak tidak mahu balik. Mereka mahu tinggal di pondok sebab kami pun akan datang semula ke sini (minggu ini),” katanya. – KOSMO! ONLINE














