fbpx
Gambar hiasan

‘Setia saya miskin, gaji besar saya kaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Amalan job hopping atau lompat kerja bukan perkara baharu di Malaysia, namun situasi itu dilaporkan kerap berlaku dalam kalangan orang muda terutama milenial dan Gen Z yang berusia 35 tahun dan ke bawah.

Antara alasan mereka berbuat demikian adalah untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi dan kebebasan waktu bekerja terutama amalan bekerja secara hibrid atau dari rumah.
Selain itu, sikap majikan yang tidak profesional, diskriminasi, politik dalaman pejabat dan jumlah cuti tahunan sedikit turut menyumbang kepada tindakan lompat kerja tersebut.

Kumpulan ini sentiasa mencari peluang pekerjaan lain walaupun tidak sampai setahun berkhidmat di sesebuah syarikat.

Kajian yang diterbitkan firma risikan pasaran global, Qualtrics pada 2020 mendapati hanya 16 peratus pekerja di Malaysia yang bercadang untuk kekal di tempat sama dalam setahun.

Hampir 30 peratus lagi pekerja pula akan bekerja selama dua tahun sebelum berpindah ke syarikat lain. Kos sara hidup yang meningkat saban tahun menyebabkan generasi muda mahukan peningkatan gaji setara.

Seorang eksekutif akaun dikenali sebagai Wong, 30, berpandangan tiada faedah untuk kekal di sesebuah syarikat yang sama lebih daripada dua tahun sekiranya tidak mendapat kenaikan gaji atau lain-lain faedah.

“Dalam masa empat tahun, saya menukar tempat kerja sebanyak tiga kali. Jawatan sekarang membolehkan saya mendapat kenaikan gaji 60 peratus berbanding tempat lama,” kata­nya baru-baru ini.

Jelas pemuda itu, kesetiaan bukan lagi sesuatu yang dihargai majikan masa kini.

“Dengan bilangan pekerja yang semakin bertambah saban tahun, majikan boleh mencari pengganti pada bila-bila masa sahaja,” katanya yang menjana lima angka pendapatan bulanan.

Bagi pekerja swasta, Munirah, 25, pula, sejak menamatkan pe­ngajian, dia sudah bertukar kerja hampir tiga kali kerana mahu mengembangkan bakat di sam­ping mencari tempat kerja yang bersesuaian dengan minatnya.

“Selain gaji, saya mencari tempat kerja yang boleh membantu saya mengembangkan bakat. Saya menyukai cabaran dan masih muda,” katanya.

Selain itu, pandemik Covid-19 juga merupakan antara penyebab faktor golongan muda menghargai kebebasan bekerja.

Menurut Sofia, 30, dia sanggup menukar tempat kerja walaupun dengan tawaran gaji sama di tempat baharu kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

“Buat masa sekarang, saya bekerja dengan syarikat yang masih lagi membenarkan amalan bekerja dari rumah. Saya lihat ia sebagai satu faedah yang lebih ‘mahal’ daripada kenaikan gaji.

“Saya bukan sahaja boleh meneruskan kerja seperti biasa tanpa perlu memandu atau menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja, malah boleh luangkan masa bersama keluarga.

“Kalau tiba-tiba syarikat sedia ada minta saya kembali ke pejabat, saya tidak akan teragak-agak untuk tukar kerja, asalkan tempat kerja baharu itu membolehkan saya kerja dari rumah,” kata Sofia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN