fbpx
Bella (kanan) dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu.

Bakul baju tambah misteri kehilangan Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Keluarga seorang wanita yang hilang sejak 14 Disember lalu merayu kepada mana-mana pihak supaya ‘memulangkan’ mangsa kepada keluarga dan anak-anaknya yang terlalu rindu serta risau mengenai keselamatannya.

Norisham Samsusah, 36, berkata, dia percaya adiknya, Mira Sharmila, 34, atau dikenali sebagai Bella ‘disimpan’ oleh pihak tertentu, namun sehingga kini belum dapat sebarang berita mengenai adik bongsunya itu.

“Jika ada sesiapa yang mempunyai maklumat di mana Bella berada, saya rayu maklumkan kepada saya atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Bukan itu sahaja, dua anak­nya, Eusoff, 4 dan Maream, 2, yang tinggal bersama saya ketika ini sudah mula bertanyakan mengenai ibu mereka yang hilang sejak dua minggu lalu terutama pada waktu malam,” katanya ketika ditemui.

Isnin lalu, Kosmo! melaporkan, Bella dilaporkan hilang selepas keluar ke kedai dobi layan diri bersama teman ­lelakinya di sini. Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah ketika hendak keluar mencuci pakaian.

Menurut Norisham, kehila­ngan Bella menyebabkan ibunya tidak dapat berniaga kerana tiada pembantu.

Tambahnya, Bella biasanya akan mengambil anak-anak­nya yang ditinggalkan di rumah kakak dan pengasuh pada waktu malam selepas membantu ibunya berniaga.

“Saya hanya dapat mengatakan kepada dua anaknya bahawa Bella belum balik kerja dan akan pulang lewat. Saya menangis apabila mereka kerap kata di mana mummy, kenapa tak jemput kami balik rumah kerana tiada jawapan untuk itu,” katanya.

Ujar Noorisham, Maream pula kerap merengek ketika hendak tidur malam seolah-olah merindui belaian ibunya yang akan mendodoikannya sebelum dia lelap.

“Satu yang saya pelik ialah pakaian yang ada di dalam bakul yang sepatutnya dicuci pada hari itu tidak dibasuh. Bukan itu sahaja, beg duit dan dua cincin ada di ruang tamu rumah sedangkan ia dibawa ketika dia keluar tempoh hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kes itu telah diklasifikasikan sebagai culik dan pihaknya telah menahan reman teman lelaki Bella berusia 24 tahun untuk membantu siasatan.

“Saya mengesahkan penahanan pekerja sebuah syarikat kurier itu pada 25 Disember lalu dan ditahan reman sehingga 31 Disember ini.

“Sebelum itu lima individu sudah dipanggil untuk diambil keterangan, manakala lelaki ber­kenaan disoal siasat sebanyak dua kali sebelum ditahan reman,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN