fbpx
Azie tidak menyangka mak cik tua ditemuinya di perhentian bas ketika senja merupakan individu yang telah lama meninggal dunia. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Misteri wanita tua merayau waktu senja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NASIHAT orang tua-tua, jangan sibuk dengan hal dunia ketika senja terutama menjelang waktu solat maghrib.

Kisah warga emas yang merayau tidak kira masa seakan-akan mencari seseorang di lokasi tertentu seperti hospital atau pusat penjagaan sudah menjadi sebahagian kisah masyarakat.

Menurut seorang aktivis masyarakat dikenali sebagai Azie, 50, kisah dirinya membantu seorang wanita tua yang berada dalam kegelisahan di perhentian bas beberapa tahun lalu cukup menyeramkan.

“Pada petang itu, saya sedang membasuh pakaian di sebuah kedai dobi layan diri, sebelum saya ke kedai berhampiran untuk membeli minuman.
“Kebetulan saya ternampak wanita tua berusia 70-an kelihatan mundar-mandir di perhentian bas seolah-olah menghadapi suatu masalah,” katanya ketika ditemui di Kuala Selangor baru-baru ini.

Azie berkata, seorang pemuda menghampiri wanita tua tersebut untuk bertanya mengenai destinasi dituju.

Jelas Azie, pemuda itu memberitahu, wanita itu ingin ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk melawat suaminya.

“Setelah pemuda itu berlalu, saya pula mengambil alih tugas seperti wartawan ‘menyoal siasat’ wanita yang saya bahasakan mak cik itu kira-kira pukul 7 malam.

“Mak cik itu memberitahu, dia menerima panggilan daripada hospital untuk segera datang ke wad kecemasan kerana suaminya sedang nazak,” katanya.

Azie yang bersimpati meminta telefon wanita itu untuk membolehkannya menghubungi saudara terdekat mak cik tersebut.

Kebetulan kata Azie, terdapat nombor yang tertulis nama Along di dalam senarai telefon milik wanita itu, lalu dia menelefon individu berkenaan.

“Di hujung corong telefon, terdengar suara lelaki bercakap dalam nada marah. Katanya kepada saya, suruh emaknya balik rumah dan jangan keluar.

“Lelaki itu saya andaikan adalah anak kepada wanita tua itu.

“Difahamkan, bapanya telah meninggal beberapa tahun lepas dan sejak itu ibunya (mak cik) menjadi nyanyuk dan pelupa,” ujarnya.

Cerita Azie lagi, dia mengambil keputusan untuk menghantar mak cik yang bernama Kamsiah itu pulang ke rumahnya.

Mak cik Kamsiah masih ingat rumahnya yang berada tidak jauh dari kawasan perhentian bas tersebut.

“Mak cik Kamsiah memberitahu, dia tidak ingat bila suaminya meninggal dunia.

“Ketika menghantar pulang, jirannya yang berusia 60-an memberitahu saya, mak cik Kamsiah rindukan suaminya yang meninggal kerana sakit jantung.

“Akibat nyanyuk juga, rumahnya nyaris terbakar semasa dia masak,” katanya.

Selepas beberapa hari peristiwa tersebut berlaku, Azie kembali ke rumah wanita tua tersebut pada suatu petang untuk bertanya khabar.

Rumah mak cik Kamsiah terletak di tingkat empat sebuah pangsapuri yang kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan, walaupun baru seminggu dia menghantar wanita tua itu.

Peliknya, jiran mak cik Kamsiah bukan lagi wanita yang ditemuinya pada minggu lalu, sebaliknya seorang perempuan muda berusia lingkungan 30-an.

“Saya bertanya wanita itu tentang mak cik Kamsiah dan wanita berusia 60-an yang ditemuinya di rumah tersebut.

“Kata wanita muda itu, mak cik Kamsiah sudah lama meninggal dunia tidak beberapa lama selepas suaminya mati kira-kira lima tahun lalu.

“Katanya lagi, mak cik Kamsiah memang suka merayau pada waktu senja sejak suaminya menghembuskan nafas terakhir.

“Semasa hayat, anak lelakinya yang bekerja di luar daerah ini jarang menjenguk mak cik Kamsiah sehingga wanita itu disahkan meninggal akibat kemalangan ketika merayau,” katanya.

Azie yang terkejut dengan kisah tersebut berkata, dia berulang kali bertanyakan kebenaran kisah mak cik Kamsiah itu kepada wanita muda berkenaan.

Berdasarkan riak wajah wanita muda itu, dia yakin setiap bait kata-katanya benar belaka.

“Saya pun lupa untuk mengambil nombor telefon mak cik Kamsiah kerana tidak menyangka rupanya saya dipertemukan dengan entiti misteri.

“Masih terbayang wajah muram mak cik Kamsiah yang diajak pulang ke rumah.

“Saya baru perasan, saya tidak menyentuh langsung tubuh mak cik Kamsiah semasa menghulurkan wang,” ujarnya.

Pada masa itu, Azie baru teringat pesanan orang tua semasa kecil, jangan suka keluar pada waktu senja kerana itu adalah permulaan waktu siang bagi makhluk halus seperti jin.

Tambahnya, dia bersangka baik dengan peristiwa pelik tersebut dan menganggap ia sebagai mimpi semasa tidur.

“Namun, kisah pelik tersebut bukan setakat itu sebenarnya.

“Kisah wanita tua yang menjadi jiran mak cik Kamsiah turut saya tanyakan kepada perempuan muda tersebut.

“Sangkaan saya wanita tua itu adalah ibu kepada perempuan muda berkenaan adalah meleset sama sekali,” jelasnya.

Azie berkata, wanita tua tersebut adalah pemilik rumah berkenaan dan telah meninggal dunia beberapa hari selepas mak cik Kamsiah menghembuskan nafas terakhir dan mereka berdua adalah rakan karib semasa hayat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN