fbpx
Al-SULTAN ABDULLAH perkenan menyampaikan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada Yogeswary kerana keramahannya melayani pengunjung HRPB, Ipoh, Perak.

Jiwa luhur ‘mak guard’ Yogeswary

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SELAGI nyawa dikandung badan, selagi itu saya akan membantu dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja tanpa henti”.

Itu antara butir kata yang terungkap daripada mulut wanita India berstatus ibu tunggal berusia 44 tahun ini kepada penulis beberapa hari lalu.

Menerusi temu bual secara panggilan telefon itu, jelas dapat dirasai betapa kuatnya aura dan sisi keibuan yang ada dalam dirinya.

Yogeswary Ramasamy. Nama tersebut menjadi tidak asing lagi di ruang laman sosial TikTok lebih-lebih lagi beberapa minggu kebelakangan ini.

Dia bukanlah peniaga mahupun pempengaruh apatah lagi selebriti yang mempunyai jutaan pengikut.

Namun, sifat pengawal keselamatan yang ringan tulang dan seronok membantu pesakit di hospital tempatnya berkhidmat menjadikannya terkenal dan mempunyai peminat kesayangan tersendiri.

Tular beberapa video berserta foto dirinya yang lengkap beruniform putih sedang membantu para pelawat di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja

Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak, ibu kepada dua cahaya mata itu ikhlas dengan bantuan yang dihulurkan.

Bukan setakat membantu membukakan pintu kereta, mengangkat barang dan menjaga lalu lintas di parkir, dia juga tidak kekok membantu pelawat mencari tapak parkir kosong dengan memandu sendiri.

Sifat lembutnya bak ibu memujuk anak kecil juga jelas terpancar apabila tidak malu membantu menenangkan pesakit yang dalam keadaan cemas, bersedih selain tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada ibu yang baru mendapat zuriat walau tidak dikenali.

Tidak hairanlah hubungannya yang begitu erat dengan siapa sahaja tanpa mengira kaum dan warna kulit membuatkan dirinya disayangi, disenangi dan dikenali seluruh warga HRPB beberapa tahun kebelakangan ini.

Benarlah kata orang, banyak kita menolong, banyak juga perkara baik yang kita akan dapat.

Itulah yang terjadi dalam diri ibu anak dua ini apabila awal bulan ini menerima kejutan tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 19 Disember lalu.

“Saya menangis tatkala menerima surat daripada Istana Negara. Bagi saya, ia bagaikan satu mimpi dan merupakan pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya saya sebagai pengawal keselamatan.

“Macam-macam perasaan tatkala membaca naskhah tersebut. Syukur, sedih, gembira, terharu semuanya bercampur menjadi satu.

“Saya tidak pernah minta dan harapkan bantuan kecil yang saya hulurkan dibalas sebegini. Saya tidak sangka khidmat saya dihargai seluruh negara,” katanya kepada Aura.

Yogeswary berkhidmat di HRPB, Ipoh, Perak.

Meneruskan perkongsian, dia yang sudah berkhidmat di HRPB selama empat tahun sebelum ini pernah menerima surat daripada Istana Negara tetapi di alamat rumah lamanya di Johor Bahru.

Jelasnya, surat lama itu bertarikh Julai lalu, namun langsung tidak diketahuinya sehingga disedari kedua-dua anaknya yang ketika itu pulang ke Johor.

“Sebelum menjadi pengawal keselamatan sekitar 15 tahun lalu, kami sekeluarga menetap di Skudai, Johor kerana suami bekerja di Seberang Tambak.

“Jadi, bila saya dan suami berpisah, kami bawa haluan masing-masing. Anak-anak ketika itu mengikut suami dan saya nekad balik ke kampung tinggal bersama ibu di Gerik, Perak.

“Jadi bab alamat surat menyurat itu saya memang tidak pernah tukar atau kemas kini walau sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah dan seterusnya di hospital. Setelah menyedari hal itu saya tukar alamat dan awal bulan ini, saya terima surat yang dialamatkan ke Perak untuk penganugerahan ini,” katanya.

Berkongsi perasaan terpilih sebagai salah seorang penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan tiga hari lalu, dia menyifatkan ia sebagai satu suntikan semangat buatnya untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

“Anugerah dan pengiktirafan ini terlalu besar buat diri ini. Kadangkala saya rasa tidak layak dan apalah sumbangan saya kepada negara.

“Tetapi mungkin ini rezeki yang Tuhan sudah aturkan buat saya selama ini. Saya berjanji akan lebih berdedikasi dan bersemangat dalam tugas.

“Masalah hospital tempat saya bertugas ini satu sahaja iaitu susah nak dapatkan parkir lebih-lebih lagi ketika waktu puncak. Jadi, apa saya boleh buat hanya bantu urusan mereka, bawakan barang, dapatkan tapak parkir mudah dan dekat lebih-lebih lagi buat warga emas serta orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Kongsinya, bersempena pengiktirafan diterima, dia diberi cuti selama empat hari untuk membuat persiapan awal ke ibu negara dari Ipoh, Perak ditemani kakak ketiganya, Rajeswary Ramasamy.

Diaju mengenai apa hala tuju dirinya selepas ini, dia mengakui akan terus menabur bakti bekerja di hospital yang bukan sahaja menjadi tempat dia mencari sesuap nasi, tetapi merubah seluruh kehidupannya kini.

“Mana mungkin untuk saya berubah hati dan arah kerana di sinilah (hospital) tempat saya banyak belajar dan kenal erti kehidupan sebenar.

“HRPB ini ibarat rumah kedua saya jadi tidak mungkin saya tinggalkannya begitu saja. Jika diberi keizinan dan kesihatan oleh Tuhan, saya berazam untuk terus berbakti selagi khidmat diperlukan. Terima kasih juga atas doa semua. Buat ibu di kampung dan dua anak saya yang kini menyambung pelajaran di Qatar bersama bapanya, ini (pingat kebesaran) untuk anda juga,” ujarnya sedikit sebak.

Menutup bicara, dia juga mengambil kesempatan berterima kasih kepada semua pihak terutama pengurusan HRPB, barisan doktor dan jururawat serta kakitangan dan semua yang mengenalinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN