FULL HOUSE! Itu bukti keunggulan band rock otai, Wings apabila mampu memenuhkan Stadium Malawati Shah Alam dengan kehadiran 9,000 peminat pada konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter, Ahad lalu.
Hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di beberapa lokasi berhampiran venue persembahan mega itu bukan halangan kepada peminat atau Sayap Sayap Wings meneruskan hasrat mereka memunculkan diri di stadium.
Tunai hajat
Tepat pukul 9 malam, Datuk Awie bersama empat lagi tunjang kumpulan itu, Eddie, Black, Syam dan Edrie tampil memanaskan pentas dihiasi lima sofa umpama singgahsana raja yang mempunyai simbolik dengan konsert.
Gelanggang acara itu gamat sebaik vokalisnya atau pemilik nama lengkap, Ahmad Azhar Othman muncul di pentas mengenakan tengkolok kuning bersama kostum yang melambangkan imej hulubalang rocker sejati.

Tidak melengahkan masa, Adone Dari Paran, Jumpa Hilang, Lubuk Pusing, Cinta Seusia Kita, Komplikasi Pramayar dan Jerangkap Samar menjadi pemanas acara.
Biarpun beberapa lagu dari album Menakluk Kosmos belum mesra di telinga khalayak, momentum persembahan mereka tetap membuatkan penonton bergoyang.
Seperti diakui Awie ketika bertemu media usai konsert berkata, sudah lama mereka berhajat membawakan seleksi daripada buah tangan ke-11 itu, namun baru sekarang dapat direalisasikan.
Seperti diluahkan, segmen terawal adalah paparan pengembaraan kumpulan yang ditubuhkan sejak 1985 bersama paparan visual masa lalu temasuk ketika Joe Branko digugurkan pada 2017.
Momen Awie kembali ke pangkuan Wings pada tahun 1999 juga dikongsikan sehinggalah kemasukan ahli terbaharu mereka iaitu Edrie Hashim.
Kenang nostalgia penubuhan
Berkonsepkan teaterikal, bukan hanya mengenang nostalgia lampau, visual di LED turut menunjukkan band tersebut membelah lautan luas seperti viking.
Konsert berdurasi hampir tiga jam itu turut menyenaraikan banyak lagi dendangan popular termasuk Ingatkan Dia, Sekeping Kertas Bermaruah, Bernafas Dalam Lumpur, Dalam Kehadiran Sofea, RNR, Awang Trasher, Rantai dan Intan Ku Kesepian.
Paling menjadi tumpuan tentu sahaja vokal Awie yang tetap mampu menyampaikan lagu bernada tinggi biarpun sepanjang persembahan dia berlari ke kiri kanan pentas selain bijak memancing perhatian dengan celoteh bersahaja.

Usia yang sudah melepasi garisan 55 tahun kelihatan seakan-akan sekadar angka sahaja melihatkan energinya yang seperti tiada lelah, malah tidak sedikit pun vokalnya ‘koyak’.
Namun, figura yang bakal menyambut kelahiran anak ketujuh pertengahan tahun depan tetap ligat, malah sempat berseloroh mencetuskan tawa khalayak.
“Dulu masa muda tak kisah nyanyi lagu (nada) tinggi, sekarang padan muka nak ambil nafas,” ujarnya sambil tertawa.
Momen syahdu
Sejurus selepas itu, Wings memberikan penghargaan kepada komposer Allahyarham JS Kevin sebelum meneruskan momentum dengan segmen tribute dengan menyampaikan lagu popular idola mereka seperti Holiday dendangan Scorpions, Run For Your Life (The Beatles), Black Night (Deep Purple) dan Nobody’s Fool (Cinderella).
Menurut vokalis terbabit, deretan lagu popular antarabangsa itulah yang ‘dipinjam’ mereka ketika mengadakan persembahan dahulu.
“Suatu ketika dulu kami menumpang lagu-lagu ini antaranya kumpulan Scorpions, Deep Purple dan banyak lagi. Itulah kami ketika zaman 80-an dulu.
“Jadi malam ini kami kembalikan nostalgia dengan segmen ‘tribute’ lagu yang pernah kami tumpang dulu,” kata Awie.

Selepas segmen berkenaan, air mata penonton pula menitis ketika lagu selawat, Allah Allah Aghisna dendangan asal penghibur Indonesia, Nazwa Maulidia diperdengarkan yang mencetuskan syahdu.
Paparan video situasi genting di Gaza serta keadaan rakyat Palestin berdepan serangan Israel yang melatari persembahan diakhiri doa memohon pertolongan dibacakan Awie sendiri menggandakan lagi perasaan sayu.
“Dalam kita suka, ada yang sedang berperang. Izinkan kami menghadiahkan lagu ini untuk pejuang di Gaza dan sama-sama kita doakan mereka,” katanya.
Selain menunjukkan sokongan untuk Palestin, konsert mega pertama anjuran syarikatnya sendiri iaitu Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment itu terlebih dahulu dibahagikan kepada beberapa segmen.
Sebelum berlalu, mereka enggan menghampakan penonton apabila menunaikan kehendak ramai yang ingin mendengar lagu wajib Romania, Taman Rasyidah Utama dan Sejati sebagai penutup wajib.
Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama di Singapura, Julai lalu selain bakal dibawa ke Pulau Pinang dan Johor.
Ternyata, selepas berpuluh-puluh tahun membelah lautan industri rock, Wings masih hebat berbisa!















