fbpx
KEMUNCULAN semula Azahi mengubat kerinduan peminat selepas dia meninggalkan industri lebih 20 tahun lalu dan membina kehidupan keluarga di Kanada.

Azah Aziz lepas gian berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAMA 20 tahun, pelakon cantik itu meninggalkan tanah air dan berhijrah ke bumi Kanada selepas mendirikan rumah tangga bersama suami tersayang, Daud Leroy Abdullah.

Sejak mengambil keputusan untuk meninggalkan Malaysia, nama pelakon berkulit hitam manis yang terkenal sekitar tahun 1990-an itu perlahan-lahan hilang dari radar industri seni hiburan tempatan.

Jauh disorot lensa kamera, pemilik nama pentas Azah Aziz menjalani kehidupannya sebagai isteri sepenuh masa dan menguruskan rumah tangga sementelah membesarkan tiga orang anak, Aaron, Ryan dan Justin. 

Bagaimanapun, sejak Julai lalu, Azah atau nama lengkapnya Norazah Aziz, 51, mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia bersama keluarga dek kerana tuntutan kerja suaminya.

Walaupun kepulangannya ke tanah air bukanlah untuk jangka masa panjang, tetapi hanya untuk lima tahun kerana urusan kerja suami, peluang itu tidak dilepaskan Azah untuk kembali aktif dalam bidang lakonan yang dirinduinya.

“Keputusan balik ke Malaysia sebenarnya bukan untuk for good (selamanya), tetapi untuk tempoh lima tahun sahaja kerana suami ada kerja di sini.

“Hanya anak sulung dan bongsu (Aaron dan Justin) sahaja yang ikut balik sini. Manakala anak kedua (Ryan) berada di Dubai,” ujarnya.

Kembali aktif

Walaupun mengakui berasa gementar untuk kembali beraksi di hadapan kamera, namun rasa teruja melebihi segalanya apabila Azah tidak ragu-ragu menyambar tawaran yang diberikan kepadanya untuk melepaskan rasa gian beraksi di hadapan kamera.

MESKIPUN berpengalaman dalam bidang lakonan selama tujuh tahun, Azah mengakui menyimpan rasa gemuruh untuk berlakon semula selepas sekian lama tidak beraksi depan kamera.

“Alhamdulillah sejak pulang semula ke Malaysia, banyak tawaran berlakon drama yang saya dapat, tapi saya tidak boleh ambil semua sebab penat. Maklumlah, dah berumur. Mula-mula masuk ke set penggambaran selepas 20 tahun tidak berlakon, sejujurnya memang saya gementar.

“Memang seronok bila dapat berjumpa semula dengan kawan-kawan lama. Ada dalam kalangan mereka yang dahulunya kami berlakon bersama, sekarang sudah pun jadi seorang penerbit dan pengarah.

“Saya terima tawaran berlakon pun disebabkan kawan-kawan juga. Bila mereka panggil, kenapa tidak,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga pada usia awal usia 20-an itu.

Tambahnya lagi, memandangkan anak-anaknya juga sudah dewasa, maka dia tidak keberatan untuk kembali bekerja, selain turut mendapat sokongan daripada suami tercinta.

“Anak-anak pun sudah besar. Daripada saya duduk di rumah sahaja, lebih baik saya kembali berlakon. Suami pun galakkan untuk saya kembali aktif sebab dia tahu saya masih sayangkan dunia ini (lakonan).

Landskap industri

Ketika disoal perbezaan cara kerja ketika zaman gemilangnya dengan sekarang, Azah yang kini muncul menerusi drama bersiri, Jangan Lupa Janji memberitahu, banyak perubahan sekarang. 

Paling ketara, tawaran kontrak daripada pihak produksi juga lebih mudah, selain melihat selebriti hari ini lebih menjaga karier mereka dengan tersusun dengan bantuan pengurus artis.

“Cara pihak produksi buat tawaran, bayaran semuanya sudah berbeza dan lebih mudah. Pemerhatian saya juga mendapati, artis-artis hari ini semua ada bawa pengurus. Sedangkan saya pula tiada.

“Terfikir juga, mahal ke bayar pengurus? Banyak ke bayaran mereka (artis) dapat? Cara kerja (penggambaran) hari ini juga semakin mudah dan maju berbanding zaman saya.

“Untuk habiskan lima babak pun memakan masa sehingga ke awal pagi. Sekarang waktu penggambaran juga habis cepat. Sehari boleh selesaikan berbelas-belas babak. Semuanya sudah maju,” jelasnya.

Anak pemalu

Meneruskan perbualan, popularitinya sebagai artis juga menyebabkan anak-anaknya turut terkena tempias. 

PELAKON berusia 51 tahun ini meletakkan syarat untuk tidak memegang watak sebagai ‘mak datin’ kerana menganggap dia tidak sesuai membawakan watak sebegitu.

Berbekalkan wajah yang kacak, hasil perkahwinan campur bersama suaminya yang merupakan seorang warganegara Perancis, Azah berkata, anak-anaknya juga turut dilamar untuk terjun dalam dunia hiburan.

Pun begitu, Azah memberitahu, anak-anaknya sangat pemalu, selain belum fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

“Selain saya, anak-anak juga ada ditawarkan untuk berlakon, tapi jadi pelakon ‘bisu’ sebab mereka belum fasih bercakap dalam bahasa Melayu (ketawa).

“Saya okey dan tidak kisah jika anak-anak mahu menceburkan diri dalam bidang lakonan. 

“Kalau mereka minat, kenapa tidak.

“Sesekali, ada juga mereka datang ke set penggambaran untuk melihat saya berlakon. Apa-apa pun, terpulang pada mereka nanti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN