TREND kenderaan utiliti sukan (SUV) sebagai pilihan pemandu-pemandu di Malaysia mendorong kebanyakan syarikat automotif semakin rancak membawa masuk pelbagai model tersebut ke negara ini.
Apabila banyak model SUV ditawarkan, sudah semestinya persaingan antara jenama turut menjadi topik yang dibualkan di kedai-kedai kopi.
Antara jenama yang popular dengan SUV ialah Proton, Perodua, Toyota, Honda, Mazda dan tidak berkecuali beberapa jenama dari China.
Setiap pengeluar kereta pasti mempunyai strategi untuk menjual produk mereka agar dapat memikat hati pelanggan.
Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji SUV Omoda 5 varian H oleh jenama Chery dari China.
Sekadar makluman, Chery Malaysia menawarkan dua varian sebagai pilihan untuk model Omoda 5 di Malaysia. Varian tertingginya ialah H, manakala C ialah varian asas.
Model ini diletakkan dalam segmen B yang bersaing dengan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross dan Proton X50.
Tiga jenama lain yang penulis nyatakan itu merupakan model dalam kelasnya yang boleh dianggap paling popular di Malaysia pada ketika ini.
Penulis tidak nafikan, model ini antara kenderaan dari China yang boleh dikatakan senang untuk dilihat di atas jalan raya selepas dilancarkan.
Itu bermaksud, Chery Omoda 5 juga mendapat sambutan di sini.
Penulis dimaklumkan sehingga kini, lebih 3,100 unit sudah didaftarkan.
Rekaan yang futuristik mungkin antara tarikan utama mereka yang membeli jenama ini, selain daripada ciri-ciri yang ditawarkan.

Rekaan pada bahagian hadapan model ini nampak menonjol dengan jeriji rekaan besar, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu isyarat pula terletak pada bahagian atas, manakala lampu utama LED pula dengan efek dan lampu kabus di bahagian bawah.
Pada bahagian sisi, sekali pandang, nampak seperti sebuah SUV mewah. Rekaan rim lima batang seperti kipas berwarna gelap menyerlahkan ciri-ciri sporty SUV ini.
Sebelah belakang pula lampu LED dengan efeknya membuatkan ia nampak ‘class’ di samping spoiler bumbung di bahagian atas.
Untuk varian tertinggi ini, ia hadir dengan ‘stripe’ merah di beberapa bahagian luaran kenderaan termasuk rim bersaiz 18 inci itu.
Masuk ke ruang kabin, penulis rasa kagum dengan rekaan yang dihasilkan pada model ini. Rekaan papan pemuka dengan dua skrin besar memberikan imej moden. Pada konsol tengah juga terdapat pengecas tanpa wayar yang mirip model kenderaan elektrik popular.
Tempat duduk ala buketnya membuatkan ia mirip tempat duduk di dalam sebuah SUV Sport.
Pada bahagian bawah konsol tengah pula terdapat ruang yang boleh diletakkan barangan seperti beg tangan.
Model ini menggunakan enjin 1.5 turbo dan transmisi sembilan kelajuan CVT yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 156hp dan tork maksimum 230Nm.
Kesimpulannya, tawaran menarik yang ditawarkan Chery berjaya membuatkan orang ramai terpikat untuk membeli SUV berkenaan.
Selain itu, jaminan selama tujuh tahun, lima tahun servis percuma dan pakej tambahan jaminan selama 10 tahun atau satu juta kilometer dengan tambahan bayaran menambahkan keyakinan untuk membeli model ini.
















