Angin yang bertiup kencang telah pun reda. Degupan jantung laju kembali normal. Termometer suhu juga telah sejuk kerana semua tanda tanya sejak berbulan lamanya telah pun terlerai pukul 11 pagi semalam.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merungkai persoalan berhubung rombakan Kabinet, ada muka baharu bergabung tenaga dengan muka lama bagi memantapkan Kerajaan Perpaduan.
Rombakan pertama selepas 365 hari pentadbiran. Empat kementerian baharu diwujudkan dengan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan.
Rumusannya lima menteri baharu dengan lima timbalan menteri baharu dilantik.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani antara muka baharu tonggak Kerajaan Perpaduan.
Lebih mengejutkan apabila rombakan ini menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bertukar kementerian. Beliau kini Timbalan Menteri Kerja Raya.
Steven Sim Chee Keong dilantik menteri penuh menggantikan Datuk Seri Sivakumar yang gugur.
Barisan Kabinet kali ini dikatakan kurang sedikit berbanding barisan 70 menteri Kabinet pada pentadbiran terdahulu.
Ketika dibentuk setahun lalu, Kabinet Perpaduan yang membabitkan 18 parti politik menyaksikan 28 menteri dan 27 timbalan menteri.
Pada 6 Disember lalu, Anwar dilaporkan berkata, rombakan Kabinet perlu diadakan sekiranya prestasi jemaah menteri meleset atau sekiranya terdapat keadaan yang menuntut ia dilaksanakan.
Rombakan ini sekali gus menunjukkan tiada jawatan yang selesa dan setiap yang dipertanggungjawabkan perlu bekerja keras.
Apa yang penting kini adalah bekerja, perjuangan mengenai ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.
Rakyat bukan semuanya senang, banyak yang struggle mencari ruang dan peluang untuk bekerja. Buat dua kerja perkara biasa, semuanya bukan untuk kesenangan tetapi melengkapi keperluan hidup saat ini.
Seterusnya, dalam kalangan peniaga mereka juga struggle, ada yang mampu bertahan tidak kurang juga yang ‘bungkus’. Kekuatan yang dibina sebelum pandemik Covid-19 dan ketahanan yang diperjuangkan sepanjang tempoh pandemik terlerai.
Rancakkan semula ekonomi, buka lebih banyak peluang pekerjaan dan harga barang yang stabil. Hal kesihatan, pendidikan perlu diberi fokus utama.
Suka berkongsi, pemimpin yang baik adalah mereka yang mempunyai jati diri yang kuat dan berintegriti selain mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi.
Mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan selain bijak dan paling utama jujur memikul amanah. Terima kasih pemimpin lama atas komitmen selama setahun penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Selamat bekerja dan tahniah kepada muka-muka baharu yang diberi peluang dan kepercayaan.
Masa untuk anda bekerja, rakyat memerlukan komitmen dalam mensejahterakan kehidupan, jangan honeymoon lama-lama. Harapan 33.4 juta rakyat Malaysia bergantung kepada anda sebagai pemimpin.














