SHAH ALAM – Menteri Kesihatan baharu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersedia kembali menabur bakti dan khidmat di Kementerian Kesihatan (KKM) selepas 12 bulan berehat.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kepercayaan kepadanya untuk kembali menerajui kementerian tersebut.
“Selama dua belas bulan saya berehat atau seakan berhenti. Saya sedia untuk bangkit semula. Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peluang ini,” katanya hari ini.
Dr. Dzulkefly dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan di dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang berusia setahun bagi menggantikan Dr. Zaliha Mustafa.
Dr. Zaliha beralih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang diwujudkan oleh Anwar.
Dr. Dzulkefly sebelum ini menyertai Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jumlah menteri dalam pentadbiran kerajaan kini meningkat kepada 31 berbanding 28 orang sebelum ini.
Ia susulan pertambahan empat kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Guna Awam, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Anwar turut mengumumkan pertambahan jumlah timbalan menteri daripada 27 kepada 29 orang.
Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan kini secara keseluruhannya merekodkan seramai 60 orang, namun disifatkan masih rendah berbanding pentadbiran sebelum ini iaitu 70 orang. – KOSMO! ONLINE.