PARA petugas sibuk menjalankan kerja masing-masing sewaktu siaran langsung perlawanan final Piala Malaysia membabitkan JDT dan Terengganu di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. – SYAKIR RADIN

K2

Tugas getir bawakan siaran langsung terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kecil, pemuda itu tidak pernah melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia yang berlangsung setiap tahun.

Sama ada di televisyen mahupun secara langsung di stadium, kedua-duanya memberikan keterujaan buat dirinya yang merupakan penyokong setia Kelantan FC.

Kongsi pemuda berasal dari Tanah Merah, Kelantan, Ezzat Hanuzi, 32, biarpun tahun ini tidak ke stadium, namun dia masih teruja menonton perlawanan final Piala Malaysia menerusi kaca televisyen yang kini dengan kualiti siaran Definisi Ultra Tinggi 4K (4K UHD).

“Ini kali pertama siaran sukan tempatan berkualiti 4K UHD. Ia memberikan sesuatu kelainan buat penonton yang tidak dapat ke stadium seperti saya.

“Perlawanan kali ini walaupun Kelantan tidak ke peringkat akhir, tetapi saya menyokong Terengganu.

“Kali ini menonton di televisyen juga rasa seolah-olah berada di stadium kerana paparannya sangat jelas dan terperinci,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, selain mengikuti perkembangan arena sukan tempatan, dia juga tidak terlepas pandang dengan kemajuan siaran sukan paling digemari rakyat Malaysia itu.

Katanya, jika mahu dibandingkan dengan kualiti siaran terdahulu, 4K UHD memberikan kepuasan dalam tontonan dan pemain bola seperti berada di depan mata.

“Bagi mereka yang meminati bola sepak, melihat aksi pemain kegemaran di atas padang adalah satu keterujaan.

“Kalau di stadium, kita dapat lihat di depan mata semua pergerakan di atas padang.

“Namun, apabila siaran televisyen kini menggunakan 4K UHD, pengalaman sama dapat dirasai, malah lebih jelas,” ujarnya bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Pengalaman baharu dirasai oleh Ezzat itu merupakan hasil daripada usaha pihak produksi yang menjadi tulang belakang dalam memberikan siaran sukan terbaik kepada penonton.

Mengikut sejarah, siaran pertama bola sepak di kaca televisyen bermula pada 16 September 1937 oleh sebuah stesen televisyen Britain yang menayangkan perlawanan antara Arsenal dan pasukan simpanan mereka.

Cadangan untuk siaran sukan bola sepak adalah hasil idea seorang jurutera bernama John Logie Baird yang menunjukkan cara televisyen berfungsi dalam makmal di London, Britain.

Idea Baird terus berkembang setahun kemudian apabila stesen televisyen sama menyiarkan perlawanan antara Huddersfield Town dan Preston North End yang merupakan perlawanan akhir Piala FA pada 1938.

Bukan sahaja di Britain, siaran langsung juga boleh ditonton di Scotland dengan menggunakan kabel telefon dari London ke Glasgow.

Siaran langsung sukan bola sepak di seluruh Britain menjadi kenyataan pada tahun 1960 apabila penganjur pertandingan bersetuju untuk menyiarkannya.

Sejak itu, siaran perlawanan bola sepak tersebar ke seluruh dunia seiring perkembangan teknologi dan penggunaan televisyen di rumah.

SEBANYAK 18 jurukamera berada di padang untuk merakam setiap momen perlawanan dari pelbagai sudut stadium.

Menurut Ketua Produksi Sukan Astro, Keith Wu, perkembangan teknologi banyak membantu dalam siaran sukan terutama bola sepak.

“Dalam siaran sukan terutama siaran langsung, ia bukanlah sekadar meletakkan kamera dan menyiarkannya. Namun, ia lebih kepada sebuah produksi yang bekerja di belakang tabir.

“Jumlah tenaga kerja perlu mengikut skala perlawanan yang ditayangkan.

“Apabila bercakap tentang final Piala Malaysia, kita menggunakan lebih 100 kru untuk memastikan setiap inci perlawanan dapat dihidangkan kepada peminat,” katanya ketika lawatan media ke produksi siaran langsung Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Katanya, setiap kru menggalas tugas masing-masing, antaranya 18 jurukamera akan berada di padang untuk merakam setiap momen perlawanan dari pelbagai sudut.

Dia memaklumkan, kru siaran terbahagi kepada beberapa unit lain seperti pengatur siaran langsung, teknikal, juruhebah dan ulang tayang aksi perlawanan.

Katanya lagi, tugas produksi amat getir terutama ketika perlawanan berlangsung dan ia boleh diibaratkan seperti berada di medan perang.

Setiap kru perlu fokus dengan tugas masing-masing dan perlu bekerja secara selari agar proses daripada rakaman ke aturan untuk siaran langsung dapat dilakukan dengan lancar.

“Sebolehnya tidak boleh ada sebarang kesilapan.

“Malah, produser perlu cekap untuk mengatur pergerakan kru bagi mendapatkan kandungan siaran terbaik buat penonton.

“Memandangkan siaran langsung menggunakan pancaran satelit, jarak antara perlawanan semasa dengan paparan di televisyen hanya berbeza sekitar 30 saat.

“Oleh itu, segala keputusan kandungan perlu dibuat dengan cepat dan tepat,” kongsinya.

Ulasnya lagi, tugas mereka bertambah mencabar apabila siaran langsung kali ini menggunakan kualiti 4K UHD, sekali gus menambahkan lagi jumlah kru siaran.

Bagaimanapun, hal tersebut tidak menambah beban, sebaliknya menawarkan cabaran baharu kepada mereka untuk memberikan lebih kepuasan kepada penonton.

Selain perlawanan dan kualiti siaran, bagi menambahkan kepuasan penonton, kandungan sampingan juga memainkan peranan penting dalam penyiaran sukan.

Antaranya adalah ulasan yang diselitkan ketika sebelum, semasa dan selepas siaran langsung dilakukan.

Jelas Ketua Kandungan Astro Arena, Redzuan Nasir, segmen tambahan sekitar siaran langsung merupakan penambah rencah dalam rancangan sukan di televisyen.

Kongsinya, selain kumpulan produksi yang bertungkus lumus memaparkan siaran langsung, ulasan sukan juga sangat penting.

Katanya, ulasan menjadi tarikan kepada penonton yang mahu mendapatkan informasi lebih lanjut tentang perlawanan.

“Dalam segmen ulasan, kita membawakan ramai panel jemputan yang terdiri daripada pakar dan bekas pemain.

“Mereka akan memberikan pandangan terhadap sesuatu perlawanan itu. Segmen seumpama ini memberikan info dan maklumat yang lebih luas serta terperinci.

“Pada masa sama, ia dapat membantu menambah baik arena sukan tanah air,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN