fbpx
MENGAMBIL masa hanya tiga tahun untuk mengukuh pengaruh rentak bintang sekumpulan puteri pop Malaysia, Dolla semakin ligat menjadi bintang alaf baharu dirancakkan kehadiran album debut New Classic tahun ini.

Dolla si ‘puteri penyembuh mental’ rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK keterlaluan jika dikatakan Dolla sudah menjadi satu jenama muzik yang cukup memberi dampak pada hari ini.

Kehebatan kumpulan yang dianggotai empat gadis lincah itu bukan sekadar omongan kosong kerana sudah terlaksana satu per satu bukti konkrit.

Menguatkan lagi frasa di perenggan terdahulu apabila Dolla yang ditubuhkan pada 2019 itu muncul dengan diskografi terbaharu, New Classic.

Hasil pembikinan New Classic yang mengambil masa setahun dengan memuatkan tujuh lagu itu mempamerkan semangat bahawa mereka semakin serius dalam kerjaya nyanyian.

Seperti memperoleh cahaya mata, pastinya kesemua ahli Dolla sangat teruja memiliki buah tangan sulung yang menampilkan karya pelbagai genre dari Dance-Pop ke R&B dalam New Classic.

Menurut Tabby, 23, sehingga sekarang dia tidak percaya Dolla mampu meluncurkan album album sulung selepas tiga tahun bersungguh-sungguh dalam membina kerjaya seni.

“Sampai sekarang saya seperti bermimpi akhirnya kami mempunyai album sendiri. Rasa sangat gembira dan bersyukur.

“Kami juga teruja ramai tetamu hadir pada malam pelancaran demi meraikan kejayaan kami,” katanya dengan senyuman lebar.

Dolla positif untuk sentiasa mengembangkan muzik M-Pop di mata dunia.

Kerjasama produser Korea

Meneruskan perbualan, pemilik nama lengkap Tabitha Ariel Lam Lianne itu berkata, pembikinan album menjadi mudah kerana dapat bekerjasama dengan ramai nama-nama besar dalam industri dari dalam dan luar negara.

“Pada kali ini, kami bekerja dengan semua orang dari negara berbeza. Ada produser dari Korea, penari dari Amerika, koreografer dari Los Angeles dan video muzik dirakamkan di Thailand.

“Bagi kami, memilih lagu Classic sebagai single perdana sangat senang sebenarnya.

“Apabila kami dengar demo, kami rasa sangat tertarik dan kagum dengan karya tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu. berkongsi pengalaman kerja dengan prosedur Korea Selatan iaitu Hyuk Shin, Sabronzo memaklumkan, dia tidak melepaskan peluang keemasan untuk mengetengahkan lagi bakat muzikal serta versatiliti setiap anggota.

“Sebenarnya komposer Hyuk Shin hasilkan dua lagu untuk kami iaitu Classic dan Boss Up.

Sentiasa menjadi sorotan peminat disebabkan imej seksi, Dolla berlapang dada dan hanya memberi fokus terhadap perkongsian muzik mereka.

“Proses bekerja dengannya sangat berbeza dengan produser lokal kerana lebih efisyen.

“Dia tahu visi lagu tersebut dan kami hanya serahkan kepadanya kerana tahu dia sudah bekerja dengan ramai artis sebelum ini,” tutur pemilik nama sebenar Wan Sabrina Wan Rusli itu.

Setiap kali mendengarkan karya Dolla, pasti mereka akan menyelitkan perkataan Latin yang sepertinya menyebabkan mereka sudah terkenal dengan signatur muzik sebegitu.

Menjawab pertanyaan mengenai muzik ke arah Latin, Sabronzo melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif kerana mudah ‘berhubung’ dengan pasaran peminat antarabangsa.

“Kami sebenarnya banyak terinspirasi dengan muzik Latin. Orang Malaysia juga sangat menyukai genre lagu sebegitu.

“Perkataan Melayu juga kedengaran enak kalau disebut dalam bahasa Latin kerana ada persamaan dari segi intonasi.

“Ini juga satu langkah baik untuk melakukan perbezaan dalam muzik kami,” ujarnya yang lebih mesra disapa Sab itu.

Dolla kini hadir dengan diskografi pertama berjudul New Classic.

Puteri pop

Kagum menjadi sebahagian daripada Dolla, Tabby pula seronok dapat menghasilkan ubat sebagai ‘penyembuh’ khas buat peminat.

“Seronoknya sebagai Dolla kami boleh buat persembahan dengan lagu sendiri di serata tempat.

“Berada di atas pentas seolah-olah adrenalin menderas (adrenaline rush) tetapi kami sangat suka.

“Kami juga selalu dapat mesej daripada peminat menyatakan lagu Dolla membantu mereka dalam mengatasi depresi dan stres,” katanya.

Dalam masa sama, Angel juga meluahkan rasa teruja apabila rakyat Malaysia sudah mula melabel Dolla sebagai ‘puteri pop’ kerana sudah berjaya membawa nama negara ke peringkat luar.

“Kami dapat sokongan dari semua orang Malaysia dan terasa seperti Country Princess (Puteri Bandar).

“Ada pula trend tanda pagar Dolla Make Malaysia Proud sekali gus membuatkan kami rasa terharu dengan sokongan peminat,” tutur anak kelahiran Sarawak itu.

Jika sudah ada album, pasti akan ada perancangan baharu yang bakal dibuat oleh kumpulan yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabbby, Angel dan Sysya itu.

Menurut Syasya, mereka sudah ada perancangan untuk menjayakan konsert dan jelajah tetapi fokus diletakkan pada yang utama terlebih dahulu.

“Dalam perancangan. Kita buat satu per satu,” kata Syasya menutup bicara.

DOLLA yang dianggotai Tabby (dari kiri), Syasya, Sabronzo dan Angel optimis untuk berjaya ke peringkat antarabangsa.
– SYAKIR RADIN & UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN