PETALING JAYA – Keadaan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sempit, malah dihuni bilangan keluarga yang ramai sehingga tiga generasi menyebabkan ramai anak remaja bosan duduk di rumah.
Situasi itu juga menjadi punca ramai dalam kalangan remaja terutama pelajar sekolah mengalami depresi, terlibat masalah sosial dan lebih suka lepak bersama kawan-kawan di luar sampai malam.
Seorang penduduk PPR Lembah Subang 1, di sini, Zul Ibrahim, 54, berkata, masalah kesihatan mental yang berlaku di kawasan perumahan PPR berpunca daripada keadaan rumah sempit selain persekitaran kurang kondusif.
Menurutnya, kanak-kanak tidak akan suka duduk di dalam rumah yang kecil kerana mereka cepat bosan dan lebih gemar keluar bermain.
“Saya bercakap berdasarkan pengalaman ekoran kematian anak disebabkan keadaan ini. Arwah anak saya yang ketika itu berusia 12 tahun pernah berkata dia ingin keluar dengan kawan kerana bosan duduk di rumah.
“Kemudian, tiba-tiba saya mendapat berita anak saya mati lemas di dalam tasik kerana terjatuh ketika hendak ambil seliparnya. Sejujurnya saya masih terkilan dengan tragedi itu,” kepada Kosmo! semalam.
Zul yang juga juruteknik bebas memberitahu, kawasan sekitar PPR tersebut juga tidak mempunyai taman permainan atau ruang untuk kanak-kanak bermain.
Bagaimanapun, katanya, dia masih tinggal di kediaman tersebut kerana ia merupakan kawasan strategik untuk bekerja.

Sementara itu, Rapisiah Waris, 63, yang turut menghuni di PPR tersebut berkata, dia terpaksa menetap di situ selama tiga generasi dengan enam penghuni kerana tidak mampu untuk berpindah ke tempat lain.
Ujarnya, PPR dengan keluasan 69.67 meter persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air yang didiaminya terlalu sempit, ditambah pula dengan barangan perniagaannya yang turut disimpan di dalam rumah.
“Saya duduk di rumah ini bersama dua anak, seorang telah berkahwin dan mempunyai dua anak, manakala seorang lagi masih bujang.
“Bagi saya, memang sangat stres tinggal di dalam rumah yang kecil, apatah lagi anak-anak remaja, tetapi terpaksa juga kami hadap kerana kalau nak pindah, saya tidak mampu.
“Saya turut menjalankan perniagaan runcit di kaki lima di bawah flat ini dan sebahagian barangan terpaksa disimpan di dalam rumah,” ujarnya.
Paridah Arsad, 68, pula berkata, dia menyewa di PPR Lembah Subang 1 sudah hampir 20 tahun bersama tiga anaknya susulan pemindahan penduduk dari kawasan setinggan berhampiran beberapa tahun lalu.
Dia seorang ibu tunggal mencari rezeki sebagai pengutip sampah, manakala anak perempuan tunggalnya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
“Anak-anak saya semua tidak berkahwin dan umur mereka antara 30 hingga 40 tahun. Hanya seorang yang bekerja iaitu anak bongsu perempuan.
“Keadaan fasiliti dan rumah di PPR ini juga sudah lama tidak diselenggara. Kalau nak diubah suai pula kami tiada duit. Jadi terpaksalah hidup dalam keadaan sebegini sahaja,” ujarnya.
Paridah berkata, emosinya sering tertekan hampir setiap hari dengan keadaan itu, namun dia tiada pilihan untuk mencari rumah lain berikutan tidak berkemampuan.
“Rumah memang sempit sebab anak-anak semua sudah besar. Nasib baik tidak kahwin lagi, kalau sudah kahwin, lagilah sempit dan susah untuk tinggal beramai-ramai,” ujarnya.
Baru-baru ini, Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berumur 10 hingga 17 tahun yang tinggal di PPR di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung membunuh diri.
















