fbpx
EQS 580 merupakan kenderaan elektrik dalam segmen SUV paling besar keluaran Mercedes Benz di Malaysia.

EQS 580 SUV elektrik terbesar Mercedes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MERCEDES BENZ antara jenama automotif yang aktif membawa masuk kenderaan elektrik (EV) ke Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Model EV jenis sedan, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan prestasi semuanya kini sudah tersedia dijual di Malaysia.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai The Mercedes-Benz SUVs Media Drive 2023. Ketika perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, penulis telah memandu model EQS 580.

EQS 580 ialah EV paling besar dalam segmen SUV oleh Mercedes Benz di Malaysia.

Dari segi saiz, panjang model ini ialah 5,125 milimeter (mm), lebar (2,157 mm) dan tinggi (1,718 mm).

Saiznya yang agak besar ini sudah pasti akan membuatkan pemandu agak risau terutama ketika melalui kawasan sempit, membuat pusingan U dan parkir kenderaan.

Sistem ‘stereng belakang’ yang juga standard pada model ini mampu membantu pemandu untuk mengendalikan kenderaan ini, di samping bantuan kamera 360 darjah.

Selain itu, model ini juga dilengkapi sistem suspensi udara Airmatic yang mana kenderaan ini boleh ditinggikan sehingga 25mm pada kelajuan di bawah 180 kilometer sejam (km/j) dan boleh direndahkan sehingga 15mm bagi mengurangkan rintangan angin.

Keselesaan dapat dirasakan para penumpang dengan tempat duduknya hadir bersama bantal kecil pada penyandar kepala selain diengkapi skrin peribadi mengawal ciri tertentu.

Model ini menggunakan dua motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 400kW atau 544hp dan tork tertinggi pada kadar 858Nm.

Di atas kertas, kelajuan maksimum EQS 580 ialah 210km/j dan mampu memecut dari pegun hingga 100km/j hanya dalam masa 4.6 saat.

Dengan pengecasan penuh, SUV ini mampu bergerak sejauh 615 kilometer (km) mengikut WLTP dengan kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 108.4kWh.

Tempoh mengecas dengan menggunakan pengecas AC boleh dibuat dalam masa lima jam setengah memandangkan model ini hadir dengan pengecas dalaman 22kW.

Sekiranya menggunakan pengecas DC pula, pengecasan dari 10 peratus hingga 80 peratus hanya dalam masa 31 minit.

Bahagian luaran SUV dengan tujuh tempat duduk ini hampir sama dengan model EQ yang lain seperti jeriji gril tertutup sepenuhnya, emblem EQS di bahagian sisi dan lampu belakang bersambung.

Rekaan dalaman model EQS 580 yang tampak mewah, selesa dan menarik.

Kemasan pada jeriji hadapan memberikan elemen futuristik di samping lampu LED di depan dan belakang. Model ini menggunakan kit AMG Line di samping rim AMG bersaiz 22 inci yang cukup segak.

Masuk ke ruang kabin, sudah terbayang perjalanan yang selesa kerana selain tempat duduk yang ‘gebu’, model ini juga hadir dengan bantal lembut yang diletak di penyandar kepala.

Selain meter pemandu dan sistem infotainment bersaiz besar, penumpang hadapan dan belakang juga mempunyai skrin peribadi yang boleh mengawal beberapa ciri-ciri dalam EQS ini.

Pemandu dan penumpang EQS 580 ini juga boleh mendengar lagu dengan sistem audio Burmester 15 speaker.

Kesimpulannya, model ini, bagi saya sesuai digunakan untuk kereta keluarga atau untuk tujuan korporat kerana ia menawarkan ciri-ciri tujuh tempat duduk. Tempat duduk barisan ketiga boleh direbahkan dan tempat duduk barisan kedua mempunyai ruang kelegaan kaki luas, sesuai untuk bos.

Walaupun ia sebuah EV, tetapi jarak perjalanan yang jauh ditawarkan membolehkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya dengan sekali cas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN