JOHOR BAHRU – Kegiatan Geng Mat Top yang giat menjalankan kegiatan mencuri kenderaan terpakai di sekitar kawasan bandar raya tersungkur selepas lima ahlinya diberkas dalam empat serbuan di sekitar Kota Tinggi dan Ulu Tiram dekat sini dua hari lalu dan semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kesemua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 35 tahun.
Beliau berkata, tangkapan tersebut turut melibatkan ketua geng berkenaan yang berusia 33 tahun.
“Dalam operasi yang dibuat bermula pukul 11.30 malam hingga pukul 2 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah membuat empat serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Ulu Tiram.
“Dalam serbuan tersebut, lima ahli Geng Mat Top yang aktif mencuri kenderaan terpakai di sekitar kawasan Johor Bahru berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Padzli berkata, susulan serbuan itu, polis merampas dua kunci kenderaan dan empat buah kereta dengan nilai keseluruhan rampasan RM30,000.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, suspek terlibat dengan jenayah curi kenderaaan untuk dileraikan dan dijual secara berasingan.
“Tiga suspek didapati mempunyai beberapa rekod jenayah dan kes dadah, manakala dua suspek lagi tidak mempunyai rekod lampau.
“Mereka ini dipercayai telah aktif melakukan jenayah kira-kira enam bulan lalu. Kesemua suspek ditahan selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan mencuri kenderaan. -K! ONLINE














