KUALA TERENGGANU – Rata-rata peniaga mengaku mereka kian tersepit dan buntu dengan situasi ekonomi semasa yang mendorong lonjakan harga bahan mentah, namun mengambil sikap tunggu dan lihat berkaitan harga ayam.
Norharizan Hassan, 44, berkata, dia menjual set nasi berupa sepinggan nasi putih, seketul ayam goreng, kuah kari dan timun pada harga RM5.
“Sebelum ini harga beras, sekarang ayam pula. Berapa pula saya hendak jual selepas ini,” katanya.
Peniaga nasi ayam, Zainuddin, 30-an, pula berkata, penamatan subsidi ibarat mimpi ngeri kerana tersepit sama ada hendak naikkan harga atau kecilkan saiz ayam.
Di Shah Alam, Zawawi Zakaria, 42, berkata, ketika pandemik tiada barang naik mendadak tetapi kini lain pula berlaku.
“Beras naik, ayam bakal naik. Kalau jual mahal atau kecilkan hidangan orang merungut,” katanya.
Menurut Zawawi, peniaga bimbang pelanggan akan menurun kerana orang ramai lebih gemar makan di rumah.
“Walaupun ada wang, namun kuasa beli menurun,” katanya.
Pekerja kedai ayam penyet, Alimani, 40, berkata, jumlah pelanggan semakin menurun sejak beberapa bulan lalu dan dia hanya menjual 80 ekor ayam berbanding 100 sebelum ini.
“Pelanggan dulu beli ayam penyet RM10 tetapi kini berubah nasi bajet RM6. Harga naik RM1 lagi kerana tak mampu tampung harga bahan mentah,” katanya.
Di Arau, Aishah Bakar, 66, berkata, dia akan lihat keadaan sebelum menaikkan harga makanan di kedainya.
“Saya perlu sensitif pada perubahan harga tetapi pada masa sama perlu jaga hati pelanggan yang rata-ratanya pesawah,” katanya.














