ARENA permotoran negara dilihat semakin menyepi daripada penganjuran acara bertaraf antarabangsa terutama selepas pandemik Covid-19.
Tambahan pula, dengan ketiadaan bakat tempatan dalam perlumbaan besar seperti MotoGP dan Formula Satu (F1) telah mengundang pelbagai persoalan terhadap perkembangan industri yang dahulunya rancak dianjurkan di negara ini.
Bagaimanapun, menerusi perlumbaan yang berlangsung di peringkat tempatan, minat masyarakat terhadap sukan tersebut dilihat masih ada dan tidak banyak berubah.
Rentetan itu, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias menemu bual Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir baru-baru ini bagi mengulas lebih lanjut berkenaan arena permotoran di negara ini.
Kosmo Ahad!: Pertama sekali tahniah diucapkan di atas pelantikan semula Tan Sri sebagai Presiden MAM pada penggal seterusnya. Jadi, apakah perkara yang ingin diperjuangkan oleh Tan Sri untuk arena permotoran negara pada penggal ini?
Mokhzani: Kemenangan ini turut disusuli dengan tanggungjawab, saya akan menumpukan masa untuk memastikan sukan bermotor di Malaysia berkembang.
Ini termasuk memastikan ahli-ahli gabungan MAM juga mengambil bahagian dalam mempromosikan sukan ini kepada semua lapisan peminat, peserta dan penganjur.
Saya akan berusaha untuk menjelaskan kepada semua pihak betapa pentingnya penglibatan MAM dalam memastikan sukan ini dijalankan dengan selamat.
Kita juga akan menganjurkan program di peringkat akar umbi supaya lebih ramai lagi anak-anak muda terdedah kepada cara berlumba dengan selamat.
Secara keseluruhan, bagaimana Tan Sri melihat kepada minat masyarakat di negara ini terhadap arena permotoran. Adakah ia bertambah baik atau sebaliknya berbanding dekad sebelumnya?
Pada pendapat saya, minat masyarakat kepada sukan bermotor tidak terlalu berubah dalam dekad ini berbanding sebelumnya.
Ya, terdapat kesan pandemik Covid-19 terhadap arena sukan, tetapi tidak terhad kepada sukan bermotor sahaja.
Mungkin aktiviti sukan bermotor belum kembali seperti tahap sebelum ini kerana terdapat infrastruktur yang perlu dibaik pulih. Namun, minat itu masih ada.
Kita dapati minat masyarakat terhadap perlumbaan motosikal dan kereta di negara ini cukup baik. Jadi, adakah terdapat perancangan untuk membawa masuk lebih banyak perlumbaan bermotor bertaraf dunia ke negara ini?
Sukan bermotor dua roda mungkin lebih ramai peminatnya daripada sukan empat roda.
Aktiviti promosi melalui program akar umbi secara kos rendah sudah pun ada. Contohnya, FIM MiniGP.
Ini adalah pentas yang baik buat anak muda berlatih dan berlumba dengan selamat.
MotoGP merupakan antara sukan bertaraf dunia yang dianjurkan di negara ini. Bagaimanapun, kita dapati beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Thailand turut menganjurkannya ketika ini. Perkara ini pasti menjejaskan jumlah penonton terutamanya dari negara jiran. Apakah usaha yang boleh dilakukan bagi memastikan jumlah penonton MotoGP tidak terjejas?
Setiap negara atau kota yang menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa akan memastikan mereka menawarkan unique selling point (USP) yang berbeza daripada jiran mereka.
Bagi Malaysia, peminat-peminat MotoGP ada banyak pilihan di mana mereka boleh hadir semasa minggu MotoGP kita.
Begitu banyak tempat untuk dikunjungi, tempat makan minum, menginap dan sebagainya di Malaysia.
Kita mempunyai infrastruktur yang diperlukan sebagai tuan rumah, maka peminat dan pelancong tahu akan kelebihan Malaysia.
Saya juga difahamkan, kos penerbangan dan penginapan ke negara ini juga lebih berdaya saing berbanding negara-negara jiran kita.
Apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi menarik minat penonton tempatan menonton sukan permotoran. Adakah dengan cara menubuhkan pasukan tempatan seperti Petronas Team dalam perlumbaan MotoGP sebelum ini atau penglibatan pelumba negara seperti Hafizh Syahrin?
Sememangnya penonton tempatan mahukan penunggang tempatan beraksi dalam MotoGP.
Buat masa ini kita tidak ada penunggang dalam kategori MotoGP, tetapi ada seorang di Moto3.
Insya-Allah, satu hari nanti beliau atau pelumba baharu akan muncul dalam kategori lain.
Petronas sekarang hanya menjadi penaja utama pada perlumbaan MotoGP Malaysia.
Ada juga pasukan MotoGP kepunyaan rakyat Malaysia iaitu RNF Racing MotoGP Team.
Kalau bakat yang tepat berjaya dikenal pasti, saya percaya rider Malaysia akan diberi peluang sekali lagi untuk bersaing dalam MotoGP.
Negara mempunyai banyak pelumba serta pemandu muda berbakat dan jika digilap mereka mampu berjaya. Malangnya, masalah penajaan menyebabkan usaha itu agak terbantut. Adakah Tan Sri sedar akan masalah ini dan usaha yang boleh dilakukan MAM dalam membantu golongan itu?
Penajaan menjadi isu utama untuk program membangunkan rider dan pemandu kita.
Program membangunkan mereka ini bukannya program jangka masa pendek. Rider dan pemandu mesti menunjukan bakat dan mencapai kejayaan yang konsisten.
Bagi menarik penaja, MAM cuba memperkenalkan bakat-bakat muda kepada pihak korporat yang berminat kepada sukan bermotor.
Buat masa ini, agak susah untuk mencari penaja untuk jangka masa panjang. Saya juga perlu memastikan talent pool kita berkembang.
Tanpa pelumba pelapis, tidak mungkin kita mengenal pasti bakat MotoGP dan F1 masa hadapan.
Ketika ini, Sepang merupakan satu-satunya litar bertaraf dunia di negara ini. Adakah terdapat perancangan untuk negara membina litar sebuah baharu bagi penganjuran sukan permotoran antarabangsa ketika ini?
Pada saya, ada baiknya kalau tumpuan diberi kepada usaha memastikan litar sedia ada dibaik pulih atau dinaikkan taraf.
Kalau ada peluang, kita bangunkan litar kecil untuk program akar umbi.
Buat masa ini, acara antarabangsa yang dapat sambutan baik ialah F1 dan MotoGP. Kedua-dua acara ini memerlukan litar seperti Sepang.
Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor telah melancarkan pasukan motosikal JDT Racing Team. Pada pendapat Tan Sri, apakah impak pasukan itu kepada arena permotoran negara?
Saya mengalu-alukan pelancaran JDT Racing Team. Kepimpinan, kemampuan, pengalaman, komitmen dan kejayaan Tunku Ismail Idris Tuanku
Sultan Ibrahim bersama JDT dalam segala penglibatan mereka di arena sukan tidak boleh dinafikan.
Saya yakin DT Racing Team akan menikmati kejayaan dalam masa singkat. Ia akan menjadi inspirasi dan role model kepada peminat-peminat sukan permotoran tanah air.
Kalau kita lihat bagaimana JDT telah pun mengubah dan meningkatkan prestasi bola sepak negara, saya harapkan fenomena ‘game changer’ yang sama akan berlaku kepada arena permotoran tempatan.
Akhir sekali, adakah terdapat usaha untuk negara menganjurkan semula perlumbaan F1 pada masa depan. Sekiranya ingin dianjurkan semula, adakah perlu kita menganjurkannya pada waktu malam seperti di Singapura?
Memang ramai yang kerap berbincang mengenai penganjuran semula F1 di Malaysia. Sama ada waktu malam atau siang, ia bergantung kepada siapa yang sanggup menjadi penaja utama.
Kos F1 sekarang tidak seperti dulu iaitu ketika kontrak pertama ditandatangani pada tahun 1997.
Sekarang kosnya tinggi dan sudah ada 24 perlumbaan dalam jadual F1 2024. Malaysia terpaksa tunggu kalau-kalau ada negara yang tidak mahu lagi menjadi tuan rumah F1, baru kita dapat mengambil alih slot dalam jadual perlumbaan.
Itu pun jadual 2026 atau lewat dari waktu tersebut. Jika mahu dibandingkan dengan Singapura, tidak sesuai kalau kita hanya tumpukan kepada isu siang atau malam.
Kita kena kaji segala aspek kerana minggu F1 di Singapura padat dengan aktiviti konsert, konvensyen, seminar, selain perlumbaan. Itu sebenarnya rahsia kejayaan F1 di Singapura.
















