Setiap tahun, ketibaan musim tiupan angin Monsun Timur Laut (MTL) atau tengkujuh sering menghantui penduduk khususnya di negeri-negeri di Pantai Timur dan sebahagian negeri di utara lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan rendah.
Taburan hujan tinggi ketika MTL bukan sahaja berupaya membawa bencana seperti ribut dan bah besar yang memungkinkan ribuan rumah, tanaman serta infrastruktur tenggelam dan musnah, malah ia sebenarnya lebih teruk daripada itu.
Ia juga menjejaskan kegiatan ekonomi penduduk kerana nelayan tidak boleh ke laut, pusat peranginan di pulau terpaksa ditutup, hasil-hasil tanaman berisiko untuk musnah dan pusat perniagaan di kawasan bencana akan lumpuh ditenggelami banjir.
Lebih teruk, akhir-akhir ini, curahan hujan yang tinggi akibat MTL tidak hanya terkesan kepada negeri-negeri di Pantai Timur atau sebelah utara tanah air, malah tiupan angin tersebut turut membawa ‘air yang banyak’ ke negeri-negeri di Pantai Barat.
Bagi penduduk yang sudah lali dengan kediaman mereka ditenggelami banjir mungkin tahu akan persediaan yang perlu dilakukan untuk berdepan detik sukar pada musim tengkujuh.
Malah, kediaman-kediaman di kawasan yang terdedah kepada banjir biasanya dibina lebih tinggi supaya tidak terkesan teruk apabila berlaku bencana alam tersebut.
Walau bagaimanapun, lain pula keadaannya jika sesuatu kawasan yang jarang dinaiki air tiba-tiba tenggelam apabila hujan lebat.
Kesannya sudah pasti lebih dahsyat dan teruk.
Penduduk akan panik dan lazimnya banyak barangan serta harta benda yang musnah kerana mereka tidak membuat persiapan sebagaimana penduduk yang tinggal di kawasan yang kerap terdedah kepada kejadian bah pada setiap tahun.
Jadi, seharusnya persediaan yang perlu dilakukan pihak berkuasa setiap kali menjelang musim tengkujuh ialah bukan setakat untuk menyalurkan bantuan sepantas mungkin kepada mangsa-mangsa banjir, tetapi juga seharusnya lebih terarah kepada usaha mencegah terus bah daripada berlaku.
Selain projek-projek tebatan banjir yang kini sedang dirancang dan dilaksanakan, seharusnya juga longgokan sampah sarap atau apa sahaja objek yang boleh menghalang pergerakan air di sungai-sungai, longkang-longkang besar mahupun kecil khususnya di kawasan-kawasan yang berisiko sudah ‘dinyahkan’ awal-awal bagi melancarkan aliran air.
Dalam pada itu, tengok-tengokkan juga bekalan makanan semasa musim tengkujuh.
Pastikan stok bekalan mencukupi dan jangan biar harga jualan khususnya ikan dan sayur melambung setiap kali tiba musim tengkujuh.
Buatlah sesuatu agar harganya tetap stabil walaupun nelayan kata susah hendak turun ke laut dan pekebun sayur pula mendakwa sayur mereka banyak rosak kerana hujan lebat.
Sudahlah harga beras sudah naik ketika ini, janganlah pula nanti ketibaan musim tengkujuh akan menambahkan lagi derita rakyat.
















