SELEPAS sembilan bulan berlangsungnya proses rundingan melibatkan penjualan pemilikan kelab Manchester United, akhirnya ia bakal menuju titik terakhir.
Bagaimanapun, ia bukanlah seperti yang diimpikan oleh para peminat The Red Devils apabila menyaksikan Keluarga Glazer masih lagi kekal sebagai pemilik dominan biarpun 25 peratus pegangan saham dijual kepada Sir Jim Ratcliffe yang dikatakan bakal mengawal operasi berkaitan bola sepak kelab itu.
Bilionair Qatar, Sheikh Jassim sebelum ini seakan memberikan harapan baharu buat United apabila bersedia untuk menjadi pemilik baharu dan menjanjikan sokongan kewangan padu melibatkan penyelesaian hutang kelab, penambahbaikan infrastruktur termasuk stadium Old Trafford selain bersedia menyuntik dana besar pembelian pemain
Namun, semua itu gagal menjadi realiti selepas beliau membuat keputusan pada Ahad lalu untuk menarik diri apabila mendakwa Keluarga Glazer tidak serius dalam urusan berkenaan dan mempunyai niat lain.
Kelompok peminat tegar kelab itu, Manchester United Supporters Trust (MUST) mendakwa bahawa Keluarga Glazer langsung tidak mengendahkan suara para penyokong sebaliknya hanya mengutamakan kehendak mereka menggunakan jenama United dalam mengaut keuntungan lebih besar.
Menurut laporkan Daily Mail sebelum ini, Keluarga Glazer dipercayai akan cuba kembali ke pasaran untuk menjual pemilikan mereka pada 2025 dan berharap pengukuhan kewangan dan ekonomi dunia akan membantu menarik lebih ramai pembida selain yakin mereka sudah bejaya menarik minat banyak pelabur minoriti yang mampu mengukuhkan struktur kewangan kelab itu semula.
Mereka menjangkakan nilai pasaran United akan melambung sehingga £10 bilion (RM58.50 bilion) menjelang tahun tersebut berikut peningkatan keuntungan menerusi hak penyiaran ekoran pengenalan saingan Piala Dunia Kelab sertai saingan Piala Dunia 2026 menyebabkan proses rundingan kali ini dilihat cukup sukar dengan beberapa pendirian mereka yang berbolak-balik.
Kecewa dengan perkembangan tersebut, para penyokong fanatik kelab itu dilaporkan sedang merancang sesuatu bagi menzahirkan kemarahan dan protes mereka ekoran sikap anak-beranak Glazer tersebut.
Rancangan untuk mengadakan protes dan boikot besar-besaran itu dikatakan bakal bermula ketika aksi menentang FC Copenhagen di Old Trafford pada aksi Liga Juara-Juara pada 25 Oktober ini sebelum ia bakal diteruskan ketika United bakal menentang musuh setempat mereka, Manchester City kira-kira empat hari kemudian.
Jurucakap pihak polis Greater Manchester mengakui bahawa mereka sedar mengenai kemungkinan berlakunya protes dan bantahan besar-besaran dan sedang menjalankan kerjasama erat bersama pihak kelab untuk mencegah berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang dua aksi berkenaan berlangsung.














