KOTA BHARU – Kemiskinan yang menyelubungi hidup segelintir masyarakat di negara ini memaksa anak-anak mereka berhenti sekolah dan mula bekerja bagi membantu menyara keluarga.
Lebih merumitkan keadaan apabila adik-beradik kecil yang lain pula kerap ponteng sekolah untuk menjaga ahli keluarga ketika si abang atau ibu keluar bekerja kerana tidak mampu menghantarnya ke taska dan pengasuh.
Ada pula kes di mana remaja berhenti sekolah selepas si bapa yang diharap untuk mencari rezeki pula terlantar akibat sakit atau berlaku perceraian.
Mohd. Adib, 16, berkata, dia tidak lagi berminat untuk meneruskan persekolahan di tingkatan empat kerana kasihan melihat abangnya, Yatim, 19, membanting tulang sebagai buruh kampung dengan pendapatan RM50 sehari selepas ibu bapa mereka bercerai.
Katanya, bapa mereka, Saad, 58, terlantar akibat angin ahmar selepas menghidap darah tinggi dan kencing manis sejak tujuh tahun lalu.
“Saya berhenti sekolah sejak dua bulan lalu selepas memikirkan saya tiada peluang untuk berjaya dalam pelajaran.
“Hidup kami terumbang- ambing selepas ibu melarikan diri ke Kuala Lumpur sebaik bapa mula terlantar. Saya ambil upah bancuh simen RM50 sehari dan wang itu digunakan untuk beli keperluan bapa dan kelengkapan rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Mok Lipah, Melor di sini.
Menurut Mohd. Adib, dia dan abangnya perlu bekerja bagi memastikan dua adik berusia tujuh dan 11 tahun dapat bersekolah.
Sementara itu, Saad berkata, pergerakannya terbatas kerana perlu menggunakan kerusi roda.
“Sejak dua anak bekerja, kami tak perlu lagi ikat perut. Mohd. Adib dan Yatim kini jadi ketua keluarga,” katanya sebak.
Di Tumpat, Khairil, 14, terpaksa berhenti sekolah ketika berada di tingkatan satu untuk dan bekerja sebagai pembersih ayam di sebuah kedai di Pasir Mas selepas bapanya meninggal dunia akibat kanser usus.
Katanya, dia perlu bekerja kerana pendapatan ibunya, Saadiah, 36, RM35 sehari sebagai pembantu kedai makan tidak cukup.
“Khairil menggantikan arwah suami yang dulu pernah bekerja di situ dengan upah RM30 sehari.
“Ketika kami bekerja, anak kedua, Suhaimi, 12, kerap ponteng sekolah untuk menjaga dua adiknya yang berusia lima dan setahun tujuh bulan di rumah.
Ujar Saadiah, sebolehnya dia mahu anaknya bersekolah tetapi berbelah bahagi siapa yang boleh menjaga dua anak kecilnya di rumah.
“Khairil mula bekerja ketika pandemik dan dia sudah pandai melakukan kerja berat. Kami juga hidup berpindah randah dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur sebelum ke Pasir Mas dan Kampung Bunut Sarang Burung di sini selepas kematian suami,” katanya.
Di Shah Alam, Razib, 17, berkata, dia nekad berhenti sekolah dua tahun lalu dan mula berniaga burger apabila bapanya perlu menjaga ibunya yang lumpuh akibat kemalangan di tempat kerja.
“Gaji bapa RM2,000 sebagai pekerja kilang tak cukup. Jadi saya berhenti sekolah untuk jual burger untuk tampung dua adik yang masih bersekolah,” katanya.
Seorang lagi remaja, Rosman, 17, berkata, dia berhenti sekolah pada 2019 kerana tiada wang beli peralatan pembelajaran online.
“Daripada berebut dengan adik, baik berhenti,” katanya.















