PETALING JAYA – Tanda pagar #IsraelCuak kini semakin mendapat perhatian pengguna di aplikasi X sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin yang kini sedang menghadapi konflik dengan Israel.
Ia digunakan pengguna media sosial berikutan sebahagian gelombang mega yang dilancarkan MyAqsa Defenders bersama puluhan NGO lain bagi membela nasib rakyat Palestin.
Sebelum ini, Kosmo melaporkan bahawa kempen #IsraelCuak akan berlangsung selama 100 jam.
Rata-rata orang ramai mula memuat naik hantaran dengan menggunakan tanda pagar terbabit diikuti dengan video atau foto yang menunjukkan kekejaman tentera Israel membunuh orang awam.
Perkongsian yang paling banyak meraih perhatian adalah daripada Fakhri Fadzli di mana video tersebut telah mendapat 15,300 tanda suka.
Antara selebriti dan pempengaruh media sosial yang turut dilihat menggunakan tanda pagar berkenaan termasuk Fedtri Yahya dan Hazeman Huzir. – KOSMO! ONLINE














