fbpx
NADHIR NASAR

Nadhir Nasar belum ada keyakinan jadi hero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDAKAP populariti dalam tempoh empat tahun kemunculannya sebagai anak seni boleh dianggap sebagai satu rezeki yang tidak terjangka buat jejaka kegilaan ramai wanita ketika ini, Nadhir Nasar.

Ternyata tuah sememangnya menjadi milik juara Hero Remaja 2020 itu yang hadir hasil usaha kerasnya sendiri memahat nama sebagai pelakon dan model.

Satu hal yang harus diberikan pujian buat lelaki tinggi lampai itu ialah tiada istilah terkejar-kejar dalam memastikan namanya berada dalam kelompok golongan dikenali ramai.

Bukan populariti yang dikejar apatah lagi ‘naik’ dengan cara murahan seperti terpalit kontroversi murahan.

Semakin jelas terbukti, walaupun memiliki pakej lengkap, dia masih belum bersedia sepenuhnya untuk memegang watak utama atau hero dalam sesebuah naskhah sama ada filem mahupun drama.

Baginya, itu bukan kemegahan watak dalam sesebuah naskhah yang hendak dikejar ketika ini tetapi kepuasan dalam lakonan.

Hero

“Buat masa sekarang, secara sedar atau tidak, saya sebenarnya belum lagi meme­gang mana-mana watak hero.

“Kebanyakan naskhah yang saya berlakon, semuanya karakter antihero atau second lead,” katanya kepada HibGlam baru-baru.

Melanjutkan bicara, dia yang popular menerusi drama Projek: High Council itu bukan sengaja ingin melepaskan rezeki tetapi masih mencari titik keyakinan dalam diri dahulu sebelum menggalas tanggungjawab tersebut.

“Buat masa sekarang, saya mahu gunakan sehabis baik usia muda ketika ini untuk teroka bakat yang ada dengan menja­yakan karakter antagonis dan sebagainya.

TIDAK kisah dianggap cerewet dalam memilih watak, Nadhir hanya mahu memberikan yang terbaik dan enggan mengecewakan hati pihak lain sekiranya gagal menyampaikan sesebuah watak terutama karakter hero.

“Ada sesetengah watak yang saya tolak sebab masih belum ada keyakinan untuk menjayakannya. Saya rasa ada orang lain lebih bagus yang boleh melakukannya,” ujar pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu.

Tidak rasa rugi, dia bagaimanapun sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap semua rezeki yang sudah diaturkan Tuhan buat perjalanan seninya.

“Saya tak pernah fikir bahawa kalau lepaskan peluang menjadi hero, tiada akan ada rezeki lagi. Hakikatnya kepercayaan sebegitu salah.

“Saya ingin berada dalam industri ini untuk tempoh masa yang lama, jadi inilah peluang untuk mencari potensi diri.

“Jangan risau, rezeki itu sentiasa ada, Alhamdulillah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nadhir juga enggan meletakkan sebarang sasaran masa dalam memastikan dirinya benar-benar bersedia untuk memegang watak utama dalam sesebuah naskhah.

Ujarnya, dia sentiasa percaya bahawa akan berada di titik tersebut satu hari nanti tanpa perlu terburu-buru.

“Saya tak mahu letak sebarang jangka masa untuk diri betul-betul bersedia ­terima watak hero. Bila dia ‘mai’ pada waktu yang tepat, saya akan terima dengan yakin.

“Setakat ini, saya tolak watak hero kebanyakannya untuk drama. Saya belum rasa sesuai dan yakin untuk jayakan watak hero terutama jenis romantik.

JIKA diberi peluang, Nadhir mahu menjayakan watak hero seperti Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle dalam drama Nur.

“Kalau jenis watak yang saya nak, tiada sebarang sasaran pun tetapi semuanya bergantung kepada skrip dan watak,” tuturnya.

Dia juga mengakui keputusan tersebut bukan hanya hadir daripada prinsipnya sendiri tetapi juga selepas mengutip pandangan daripada individu sekeliling termasuk pemain industri seni.

“Saya bukan menjadi cerewet tanpa sebab tetapi sentiasa percaya akan ke fasa (watak hero) itu satu hari nanti.

“Jika nak jujur, 70 peratus daripada pendirian ini adalah daripada saya sendiri, manakala 30 peratus lagi hasil nasihat rakan seindustri,” jelasnya.

Super Wira

Bercerita tentang drama lakonan terbaharunya, Super Wira yang bakal menemui penonton pada 23 Oktober depan menerusi saluran Astro Ceria, Nadhir berkata, jalan cerita yang dihidangkan sangat segar dan sesuai ditonton oleh setiap lapisan umur.

“Naskhah ini buat saya tak fikir banyak untuk bersetuju memegang watak antagonis bernama Roy.

“Memang bangga untuk berada dalam drama arahan Ghaz Abu Bakar apatah lagi berpeluang mencuba watak yang tidak pernah saya jayakan sebegini,” kongsinya.

Ditanya keterujaan dapat bergandingan bersama idolanya, Beto Kusyairy, tanpa berselindung dia mengakui aktor tersebut menjadi salah satu sebab utama dia bersetuju untuk terlibat dalam Super Wira.

“Selain jalan cerita, gandingan bersama Beto antara sebab saya setuju juga.

“Bukan selalu dapat bekerja dengannya dan pastinya saya tidak akan sesekali melepaskan peluang ini walaupun pada ketika itu jadual kerja memang sangat padat,” ujarnya lagi.

Nadhir berkata, dia sering mendapatkan nasihat daripada Beto sekiranya dalam dilema membuat sebarang keputusan sebagai seorang anak seni.

“Dia adalah abang, guru dan idola saya. Memang seronok dan tidak kekok pun sebab kami pun pernah bekerjasama sebelum ini untuk sebuah drama.

“Saya selalu hubungi Beto kalau mahu dapatkan pendapat berkaitan kerja termasuk juga sekiranya dilema jika mene­rima dua tawaran lakonan serentak,” jelasnya.

Super Wira ditayangkan setiap hari ­Isnin pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ceria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN