fbpx
GAMBAR HIASAN

Hentikan cemuhan, mereka juga manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINDAKAN mengejek secara melampau dan melakukan gangguan termasuk berunsurkan seksual dilihat semakin menjadi trend dalam norma kehidupan segelintir individu, sekali gus mencerminkan kepada suatu budaya yang disifatkan sebagai negatif.

Secara asasnya, tidak ada mana-mana manusia atau kelompok individu yang wajar menerima gangguan dan ejekan melampau termasuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ini kerana, setiap individu perlu dilayan secara sama rata tidak kira status kehidupan mereka.

Meskipun golongan itu tidak diiktiraf di Malaysia, namun ia tidak memberi ‘lesen’ kepada segelintir individu untuk menghina mereka secara melampau hingga ada yang berani melakukan gangguan seksual.

Gangguan seksual merujuk kepada sebarang bentuk perkataan atau tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, tulisan, visual, psikologi atau fizikal kepada diri mangsa.

Sebelum ini, dalam satu sesi wawancara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ada menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengizinkan sebarang perbuatan yang mengganggu golongan itu walaupun secara dasarnya negara tidak mengiktiraf mereka.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, terdapat tatacara dan adab yang perlu diikuti untuk menegur seseorang yang melakukan kesalahan.

Katanya, dalam konteks ini, sebarang gangguan atau ejekan melampau khususnya berbentuk seksual terhadap golongan ber­kenaan perlu dijadikan sebagai kesalahan dan tindakan undang-undang perlu diambil.

“Walaupun seseorang itu me­lakukan sesuatu perbuatan yang salah, adakah wajar kita menganggu dan menghina mereka secara melampau?

“Gangguan dan ejekan melam­pau seperti gelaran pondan, bapok, kunyit, lembik, mat kepit, sotong dan sebagainya yang selalu digunakan terhadap golongan itu perlu dibendung sebaiknya.

“Keadaan itu kerana ia bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah mangsa yang terlibat, malah menyebabkan mereka serta ahli keluarga menghadapi tekanan mental dan emosi yang berpanjangan,” katanya.

Jika dilihat, selain wanita, mangsa gangguan itu juga melibatkan golongan lelaki termasuk kumpulan LGBT di mana mereka turut menjadi sasaran segelintir individu untuk menghina, mengejek hingga ada berani me­lakukan gangguan seksual.

“Susulan itu, adalah penting supaya Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang diluluskan tahun lalu meliputi perlindu­ngan daripada gangguan dan ejekan melampau terhadap semua pihak termasuk LGBT perlu diberi tumpuan.

“Akta berkenaan adalah terpakai kepada mana-mana pihak dan tetap memberi perlindungan kepada sesiapa yang diganggu secara seksual tanpa mendiskriminasikan sesiapa,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Muzaffar menjelaskan, selain daripada penguatkuasaan undang-undang, pendidikan berterusan juga harus dilakukan kepada semua lapisan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung isu gangguan seksual terutama di Malaysia.

“Sudah sampai masanya masyarakat kita dididik supaya tidak melakukan sebarang jenis gangguan dan ejekan melampau yang boleh menjejaskan kehidupan orang lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN