Saya pemalu, kalau boleh nak sorok muka – Luo Zheng
Oleh HARYATI KARIM
21 September 2023, 8:14 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERTEMU secara langsung dengan aktor Luo Zheng dari China yang kini sedang meningkat popular di seluruh Asia, karakternya cukup bertentangan dengan watak-watak CEO lakonannya kerana lelaki berusia 28 tahun itu adalah seorang yang amat pemalu.
“Sejujurnya saya seorang yang sangat pemalu.
“Jika berada di khalayak ramai, rasa seperti mahu menyembunyikan diri. Sekarang pun saya malu sebenarnya,” katanya kepada pihak media pada sesi temu bual yang dibawakan oleh laman penstriman, iQIYI baru-baru ini.
Memilih kerjaya sebagai pelakon dan penyanyi membuatkan dia perlu melawan rasa malu tersebut dan selepas lima tahun berkecimpung dalam industri seni, Zheng sudah mula rasa selesa dengan segala perhatian yang diterimanya.
Biarpun dengan populariti yang mendadak naik, akui bintang kelahiran program Idol Producer itu, status orang popular tidak pernah mengubah siapa dirinya.
“Saya meletakkan sempadan yang jelas ketika bekerja dan selepas waktu kerja. Jika tidak terlibat dalam penggambaran atau kerja, saya lebih selesa duduk di rumah.
Luo Zheng terlebih dahulu bergelar penyanyi bersama kumpulan MR-X pada 2018 sebelum menjadi pelakon.
“Saya masih orang yang sama dan seorang lelaki sederhana. Jika ada masa lapang saya suka mendaki, bermain permainan komputer, berbasikal dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti lelaki seusia saya,” ujarnya.
Ditebak tentang cabaran terbesarnya sepanjang bergelar selebriti, sambil tertawa dan tidak berselindung, dia mendedahkan terlalu banyak godaan-godaan dalam dunia glamor ini.
“Banyak godaan yang perlu saya hadapi apabila menjadi selebriti. Jadi, saya harus kuatkan diri supaya tidak terpesong daripada landasan yang betul.
“Saya harus kuatkan diri dan ingat tujuan asal saya terjun ke dunia seni. Tetapi saya tidak mahu ceritakan butiran godaan yang saya hadapi, saya serahkan kepada imaginasi anda,” katanya sambil tertawa.
Versatil
Luo Zheng yang popular menerusi watak CEO dalam drama Skip A Beat, Perfect Mismatch, Nothing But You, Time To Fall In Love dan terbaharu, You From The Future yang kini sedang hangat ditayangkan di laman penstriman iQIYI menyedari karakter seorang CEO seakan-akan menjadi identiti dirinya.
Hal ini disebabkan kekerapannya membawa watak yang hampir serupa dalam setiap drama. Menyedari perkara tersebut, Zheng bagaimanapun menjelaskan, sebagai pelakon dia cuba memberi ‘rasa’ yang berbeza dalam setiap watak CEO yang diberi kepadanya.
“Walaupun kerap melakonkan watak yang sama saya merasai perubahan dalam setiap karakter yang dibawakan.
“Sebagai pelakon saya juga merasakan mutu lakonan semakin berkualiti kerana setiap watak CEO mempunyai aura dan jalan cerita yang berbeza,” kongsinya.
Apapun, lelaki tinggi lampai itu teruja apabila kemampuan dirinya tidak dilihat terhad pada watak yang sama saja. Bakat lakonannya kini mula menjadi perhatian ramai penerbit.
Luo Zheng mengakui sebagai selebriti dia harus menempuh banyak godaan yang boleh memesongkannya daripada tujuan menjadi anak seni.
Paling dinantikan adalah projek terbarunya yang akan menonjolkan sisi berbeza sebagai aktor. Tidak lagi membawa watak seorang CEO atau lelaki romantis kerana buat pertama kalinya dia akan membawakan watak antagonis.
“Bulan ini, saya akan menjalani penggambaran sebuah lagi drama. Saya akan menggalas watak penjahat dan harapnya dapat menggambarkan watak itu dengan cukup baik.
“Saya ingin lari daripada watak yang sudah biasa saya bawakan kerana watak sebegitu sudah melekat dengan diri saya. Saya mahu terus kembangkan diri sebagai seorang pelakon supaya dilihat sebagai seorang pelakon versatil,” tutur Zheng.
Bahkan apabila disoal adakah dia menyimpan impian untuk mengembangkan kerjaya sehingga Hollywood, Zheng hanya tersipu malu dan berkata, impian tersebut masih terlalu jauh untuk digapai.
“Rasanya masih terlalu jauh perjalanan saya untuk mencapai impian ke Hollywood, biarlah saya kukuhkan kerjaya di negara saya terlebih dahulu.
“Andai terdapat peluang dan ruang untuk ke sana (Hollywood) saya bersedia menyahut cabaran tersebut kelak. Saya ingin menjadi anak yang membanggakan dan menggembirakan ibu bapa,” luahnya yang turut membintangi drama-drama epik.
Nyanyian
Sebelum bergelar seorang pelakon, Zheng terlebih dahulu bergelar seorang penyanyi selepas menyertai program realiti Idol Producer pada 2018.
Pada tahun yang sama juga, dia yang menganggotai kumpulan MR-X melancarkan single pertama berjudul U & I, tetapi sejak semakin aktif dengan dunia lakonan, kerjaya nyanyian seakan tergendala.
Tidak pernah melupakan cintanya pada dunia nyanyian, jelas lelaki yang memiliki ketinggian 183 sentimeter itu, buat masa sekarang fokusnya adalah kerjaya lakonan terlebih dahulu.
Terkenal dengan watak CEO dalam drama, Luo Zheng menegaskan dia memberi lakonan berbeza dalam setiap drama termasuk naskhah terbaharu, You From The Future yang kini sedang ditayangkan di iQIYI.
“Walaupun saya fokus terhadap lakonan, saya masih menyanyi lagu runut bunyi untuk drama lakonan saya antaranya lagu Future You (You From The Future), You Are The Most Unique (Perfect Mismatch), Thank You For Liking Me (Make My Heart Smile) dan Someone Special (Fall In Love),” ujarnya.
Berkongsi tentang kunjungan pertamanya ke Kuala Lumpur yang dibawakankan oleh iQIYI VIP Asia Tour pada hujung bulan lalu, Zheng tidak menyangka dia memiliki peminat di Malaysia.
Keterujaan jelas kelihatan di matanya apatah lagi apabila dikerumuni peminat ketika sesi ramah mesra yang diadakan di Sunway Velocity, Cheras Kuala Lumpur pada 26 Ogos lalu.
“Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan terhadap saya. Disebabkan sokongan kalian saya akan sentiasa memperbaiki diri menjadi lebih baik setiap hari.
“Saya mahu peminat dan orang melihat saya sebagai seorang yang sentiasa bekerja keras, berani dan bersikap baik. Saya cinta padamu,” kata Zheng yang cuba bertutur dalam bahasa Melayu melontarkan frasa keramat itu kepada para peminatnya di Malaysia.