fbpx
Perdana Menteri India. Narendra Modi menggunakan plat tertulis Bharat pada Sidang Kemuncak G20 baru-baru ini. Parti BJP pimpinan Modi menyifatkan nama India yang diberikan British sebagai simbol ‘penghambaan’.

Adakah India akan tukar nama jadi Bharat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEGARA berpopulasi teramai di Asia Selatan bahkan diramal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bakal jadi negara paling ramai penduduk di dunia itu dikenali dengan nama ‘Republic of India’ atau India selama ini.
Biarpun negara tersebut mempunyai banyak nama tidak rasmi dan gelaran-gelaran lain, nama rasminya sehingga kini kekal sebagai India.

Begitu pun, sejak akhir-akhir ini, terdapat gesaan daripada beberapa pihak termasuk pengurusan tertinggi kerajaan India untuk secara rasminya menukar nama negara itu kepada Bharat yang merupakan perkataan bahasa Sanskrit bagi India dan dikaitkan dengan agama Hindu.

Rancangan untuk menukar nama India tersebut telah mendapat perhatian dunia kebelakangan ini susulan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang dipengerusikan ibu negara itu, New Delhi pada 9 September lalu.

Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika Sidang Kemuncak tersebut dilihat duduk di belakang kad nama yang tertulis perkataan ‘Bharat’.

Presiden India, Droupadi Murmu pula turut menghantar undangan majlis makan malam G20 yang mana dalam undangan itu, beliau merujuk dirinya sebagai ‘Presiden Bharat’.

Parti Kongres India bagaimanapun ‘menyerang’ parti pimpinan kerajaan, Parti Bharatiya Janata (BJP) susulan tindakan Murmu tersebut.

Parti Kongres juga menuduh kerajaan Modi itu berbuat demikian kerana mahu mengalih perhatian terhadap isu-isu lain seperti kenaikan harga barang dan pengangguran.

Begitu pun, majoriti masyarakat India menyelar tuduhan tersebut dan tidak melihatnya sebagai satu isu besar.

Bekas speaker Dewan Rakyat Parlimen India (Lok Sabha), Sumitra Mahajan berkata, tidak dapat disangkal lagi bahawa nama asal India adalah Bharat dan ia ditukar ketika zaman ia jadi jajahan Britain.

“Saya tidak mengerti mengapa isu ini menjadi pertikaian. Nama asal India adalah Bharat dan negara ini juga dikenali sebagai Hindustan.

“Britain menggelar Bharat sebagai India dan oleh sebab itu, nama tersebut kekal popular sehingga sekarang,” katanya dipetik akhbar The Hindu.

Tambahnya, sebagai warganegara Bharat, penduduk India menggelar diri mereka sebagai ‘Bhararatiya’.

Menurut satu laporan agensi berita Al Jazeera, Bharat sememangnya sudah menjadi salah satu nama ganti rasmi bagi India, selain Hindustan yang merupakan perkataan Urdu.

Ketiga-tiga nama ini sering digunakan secara berganti-ganti sama ada secara rasmi mahupun oleh orang awam. Begitu pun, India nama yang paling kerap digunakan di seluruh dunia.

Seiring dengan hasrat Modi untuk memperjuangkan nasionalisme Hindu, kerajaannya menyokong untuk menghapuskan peninggalan imperialisme. Parti BJP pimpinannya menyifatkan perkataan India yang diperkenalkan British adalah simbol ‘penghambaan’.

Bagi penduduk India juga, tidak ada kekeliruan mengenai penggunaan istilah Bharat. Bharat Ganarajya dan Republic of India kedua-duanya tertera pada pasport warganegara India.

Istilah Bharat mempunyai akar kuno dan muncul dalam tulisan teks Hindu seperti Mahabharata dan Manusmriti.

Presiden India mula menggunakan perkataan Bharat bagi menggantikan nama India pada majlis rasmi seperti pada sekitar Sidang Kemuncak Kumpulan G20.

Ia berkaitan dengan Maharaja Bharata yang telah memerintah dan nama itu dianggap sepadan dengan India zaman moden.

Sokongan untuk menggunakan Bharat bagi menggantikan India adalah kerana nama itu dipercayai merangkumi kekayaan warisan budaya dan sejarah di rantau itu.

Malah, bulan lalu, kerajaan pimpinan Modi juga memperkenalkan undang-undang yang akan menggantikan undang-undang hasutan British era kolonial dengan versi baharu yang dibuat oleh kerajaan India.

Oleh itu, pendirian Modi yang menggalakkan untuk menyingkirkan nama India yang diberikan Britain kepada nama yang lebih memihak perkataan Hindu nampaknya ‘tidak begitu mengejutkan’.

Menurut laporan akhbar The Guardian pula, Modi juga sebelum ini kerap merujuk India sebagai Bharat.

Menegaskan India adalah Bharat, Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee mempersoalkan apa yang berlaku sehingga negara itu tiba-tiba mahu tukar namanya kepada Bharat sedangkan Bharat sememangnya salah satu nama India.

“Saya dengar nama India sedang ditukar. Jemputan G20 yang dikeluarkan atas nama presiden ditulis sebagai ‘Presiden Bharat’.

“Kami (warga India) memanggil negara ini Bharat, jadi apa yang baru dalam hal ini? Dalam bahasa Inggeris, kita sebut India dan oleh itu, tiada apa-apa pembaharuan perlu dibuat kerana dunia juga kenali kita sebagai India.

“Apa yang berlaku secara tiba-tiba sehingga nama negara perlu ditukar?” soalnya dalam satu majlis di Kolkata.

Bagi warga India, penggunaan perkataan Bharat bukanlah suatu yang mengelirukan.

Turut tidak begitu bersetuju dengan rancangan menukar nama negara India, ahli politik yang juga pakar perlembagaan India, P.D.T. Achary berkata, penukaran nama daripada ‘Republic of India’ ke Bharat memerlukan beberapa pindaan dalam Perlembagaan.

Ujar Achary, ‘India, itulah Bharat’ yang ditulis dalam Perkara 1 Perlembagaan hanya bersifat deskriptif dan kedua-duanya tidak boleh digunakan secara bergantian.

Beliau juga menggariskan sebarang perubahan nama dari Republic of India akan memerlukan beberapa pindaan.

“Perkara 1 (perlu diubah) dan kemudian akan ada perubahan yang terhasil dalam semua artikel lain.

“Kesemua penggunaan nama India perlu dipadam memandangkan anda hanya boleh mempunyai satu sahaja nama untuk sebuah negara.

“Hal ini akan menyebabkan banyak kekeliruan bukan sahaja di India tetapi juga daripada pihak luar,” katanya.

Menurut Reuters buat masa ini, tiada lagi pengesahan jelas mengenai gerakan mengubah nama ini, tetapi ahli-ahli politik BJP mencadangkan nama Bharat sepatutnya lebih diutamakan.

Economic Times pula melaporkan kerajaan pimpinan Modi berkemungkinan akan membawa resolusi penukaran rasmi nama India kepada Bharat semasa sesi khas Parlimen yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini sehingga Jumaat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN