ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kereta Proton Saga BLM milik bapanya dalam kejadian di Taman Nusaria, Gelang Patah, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Azlan Ramli berkata, kanak-kanak berkenaan terperangkap selama kira-kira 10 minit sebelum berjaya diselamatkan.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.51 petang.
“Ketika kejadian, difahamkan bapa kanak-kanak terbabit keluar membeli barang di kedai runcit dan meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin dimatikan.
“Kunci kenderaan itu telah dicabut dan ditinggalkan di atas tempat duduk pemandu manakala anak lelakinya ketika itu sedang tidur.
“Kemungkinan kanak-kanak itu terbangun kerana kepanasan sebelum menangis dan disedari bapa mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Azlan, seramai tujuh anggota beserta sebuah jentera yang dikejarkan ke lokasi kejadian mengambil masa tujuh minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berada dalam keadaan selamat dan telah diserahkan kepada ahli keluarganya.
“Operasi berkenaan kemudian ditamatkan pada pukul 5.57 petang,” ujarnya lanjut.-K! ONLINE














