BUNYI gendang yang dimainkan sekumpulan pemain dalam satu persembahan pada majlis pernikahan di Kelantan baru-baru ini menyebabkan hadirin ‘larut’ mendengarnya.
Lebih menarik dan mengejutkan ramai, dalam kumpulan yang majoritinya lelaki terselit ‘sekuntum bunga’ yang turut sama beraksi.
Bersahaja meletakkan gendang di atas ribanya, alat muzik tradisional itu dipalu Juliana Ab. Razak mengikut alunan irama muzik sambil diiringi beberapa alatan lain.
Gaya dan caranya memukul gendang boleh membuatkan sesiapa terpegun dan seakan-akan tidak percaya dengan kebolehan luar biasanya itu.
Meskipun alat muzik tersebut begitu sinonim dalam kalangan lelaki, namun kemampuan wanita kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu bermain gendang memikat hati ramai sehingga digelar Ratu Gendang.
Wanita itu juga popular di TikTok atas nama JulieyRatuGendang apabila menghimpun lebih 400,000 pengikut.
Menyelami lebih dekat, Juliana memberitahu, dia mula belajar bermain gendang ketika usianya lapan tahun. Dia mempelajarinya daripada arwah bapanya yang turut aktif bermain alat muzik itu di Kelantan.
“Saya juga banyak belajar daripada pemerhatian apabila sering mengikut bapa membuat persembahan.
“Biarpun peralatan muzik ini biasanya dimainkan lelaki, namun bapa tidak menghalang minat saya terhadap gendang.
“Pun begitu, saya hanya serius bermain gendang secara sepenuh masa sejak tahun lalu selepas bapa meninggal dunia,” katanya kepada Aura.
Jelas ibu kepada empat orang cahaya mata itu, dia hanya ingin meneruskan legasi bapa supaya aktiviti bermain gendang tidak pupus ditelan arus permodenan dan zaman.
Meneruskan perkongsian, dia berbangga apabila kumpulan pemain alat muzik tradisionalnya yang dikenali sebagai Raja Ratu Smene acapkali diundang memenuhi jemputan ke seluruh negara.
Katanya, persembahan tersebut termasuk ke majlis seperti kenduri kahwin, program syarikat korporat, pertandingan silat dan muayThai.
“Nama kumpulan itu adalah sempena gabungan nama saya dengan sahabat, Fairuz Raja Serunai.
“Kumpulan ini dianggotai tujuh ahli dan hanya saya seorang wanita. Ahli lain mempunyai peranan masing-masing termasuk bermain serunai, gendang anak, canang dan sebagainya,” ujarnya.
Ditebak mengenai skeptikal masyarakat melihat wanita sepertinya bermain gendang, dia mengakui ramai dalam kalangan penonton terkejut apabila melihatnya beraksi.
“Pada mulanya mereka agak pelik kerana biasanya melihat lelaki yang memukul gendang selain ada juga yang bertanya laratkah dan bolehkah saya memukul gendang.
“Saya tidak salahkan mereka kerana jarang wanita yang bermain peralatan muzik itu. Namun, persepsi tersebut terlerai dan berubah apabila saya dapat buktikan kemampuan bermain gendang setanding lelaki,” katanya.
Mengenai cabaran sepanjang serius melibatkan diri bermain gendang, Juliana mengakui pernah berdepan dengan pelbagai pengalaman yang tidak akan dilupakan.
“Antara yang saya tidak dapat lupakan apabila saya pernah ‘diserang’ tuan rumah di sebuah majlis kenduri kahwin yang dikatakan dirasuk selepas mendengar muzik yang kami mainkan.
“Mujur pada ketika itu, ahli keluarga tuan rumah sempat menghalang dan berjaya memulihkan kembali individu terbabit. Alhamdulillah kami semua selamat dan majlis diteruskan seperti biasa,” katanya.

Ditanya mengenai bentuk latihan dan bagaimana dia menjaga kesihatan agar sentiasa berstamina ketika membuat persembahan, Juliana mengakui, pemain gendang memerlukan tahap kesihatan dan kepekaan yang amat tinggi termasuklah daya ingatan dan fungsi pendengaran.
“Stamina dan kekuatan fizikal juga amat penting kerana perlu bermain selama tiga ke empat jam untuk satu-satu persembahan.
“Justeru, saya akan meluangkan masa tiga kali seminggu di gimnasium dan melakukan senaman selain berjoging agar sentiasa kekal cergas dan sihat,” tuturnya.
Sekali lagi diaju mengenai hala tuju muzik tradisional ini, dia bersyukur kerana darah seni dan minatnya itu diwarisi anak-anaknya.
“Suami, Abdul Muin Che Mohd. Fahmi banyak memberi sokongan untuk saya terus bergiat aktif dalam seni muzik tradisional ini.
“Saya juga bersyukur kerana anak-anak juga sudah mula menunjukkan minat mempelajari alat muzik itu.
“Saya gembira kerana sudah ada pelapis untuk kami meneruskan legasi keluarga bermain alat muzik ini,” katanya
Tambah Juliana, dia ingin terus mengetengahkan muzik tradisional tersebut supaya dapat menarik lebih ramai individu terutama golongan muda.
“Saya sedia berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang berminat mendalami ilmu bermain gendang.
“Alhamdulillah baru-baru ini, saya didatangi 11 warga Perancis yang ingin belajar bermain gendang.
“Harapan saya, dengan pendedahan seperti ini akan dapat menarik minat lebih ramai orang tempatan mempelajari ilmu bermain alat muzik tradisional,” katanya yang juga sedia menerima jemputan dan tawaran persembahan daripada mana-mana pihak.
Mengakhiri perbualan, Juliana menasihatkan anak muda yang berminat bermain gendang atau apa sahaja alat muzik tradisional lain, pastikan jangan malu dan terus belajar selain yakin dengan kemampuan diri.














