IPOH – Segelintir peniaga dikesan meletakkan vape bersama gula-gula dan makanan ringan yang boleh menarik minat golongan remaja serta kanak-kanak untuk membeli rokok elektronik itu di premis mereka.
Taktik itu didedahkan Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM) selepas melakukan tinjauan di beberapa premis seperti kedai runcit, kedai serbaneka dan restoran di lokasi tertentu di seluruh negara.
Keadaan itu menunjukkan seolah-olah pembelian vape kini semudah membeli gula-gula apabila sesiapa sahaja boleh mendapatkan rokok elektronik.
Pegawai Farmasi Pusat Racun Negara USM, Mohd. Fadhli Razali berkata, tinjauan telah dilakukan di pelbagai lokasi termasuk di Ipoh, Perak; George Town, Pulau Pinang; Kuala Lumpur, Johor Bahru, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan.
Dalam tinjauan itu, kata beliau, pihaknya mendapati kotak-kotak vape telah diletakkan berhampiran dan di tempat jualan gula-gula dan makanan ringan.
“Ada juga yang diletakkan terlalu rendah, kurang daripada 1 meter dari lantai, yang mana ia adalah paras yang mudah dilihat serta dicapai oleh kanak-kanak.
“Saiznya yang kecil, mengandungi banyak perisa dan reka bentuk yang pelbagai serta menarik seperti barang permainan boleh menarik minat mereka untuk membeli vape.
“Malah, harga jualan vape yang murah juga menjadi punca peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja, mahupun kanak-kanak,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mohd. Fadhli memberitahu, lebih mengejutkan apabila tinjauan yang dijalankan mendapati, vape turut dijadikan sebagai hadiah dalam mesin permainan anak patung.
“Kanak-kanak hanya perlu memasukkan token sebanyak RM2 ke dalam claw machine dan berpeluang mendapat hadiah berupa vape.
“Perbuatan ini adalah sangat teruk kerana pemiliknya langsung tidak memikirkan kesan penggunaan vape kepada golongan kanak-kanak.
“Penjualan rokok elektronik yang berleluasa tanpa kawalan akan menyukarkan langkah-langkah untuk membendung penggunaannya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak,” ujarnya.
Beliau berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mencatatkan peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus tahun lalu.
“Peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu daripada 2.8 peratus pada 2017 kepada 6.2 peratus tahun lalu,” ujarnya.














