JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia berkongsikan kisah hidupnya yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pegawai bank demi menjadi seorang penjual bakso, lapor portal berita Wolipop semalam.
Margaretha Cindyana menerusi hantaran di laman Instagram berkata, dia nekad berhenti kerja di sebuah bank meskipun mempunyai ijazah dalam bidang tersebut.
“Dari zaman sekolah saya sudah bercita-cita mahu menjadi pegawai bank sebelum berjaya menjawat jawatan itu.
“Namun, manusia boleh berubah. Saya nekad berhenti kerja untuk memberi fokus kepada perniagaan ini. Perjalanan masih panjang, masih banyak impian yang belum dicapai,” ujarnya.
Tambah wanita dari Bogor, wilayah Jawa Barat itu, dia berhenti kerja kerana mendapat tekanan daripada pihak atasan dan sudah tidak berasa gembira bekerja di syarikat tersebut.
“Waktu itu, kekasih saya (kini suami) sukar menjalankan perniagaan itu sendirian. Jadi, saya mahu membantunya menjual bakso,” kata Margaretha.
Sehingga kini, restoran yang diusahakan Margaretha menerima sambutan ramai selain turut menjadi perhatian ‘vlogger’ makanan.
Dia juga memiliki ramai pekerja, mampu membeli kereta mewah dan rumah idaman serta bercuti di pelbagai tempat.
Video dimuat naik Margaretha menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Kenapa mahu jadi pegawai kalau boleh jadi bos?” kata seorang netizen.
“Keuntungan sehari kalau pelanggannya ramai boleh kalahkan gaji pegawai bank satu bulan,” kata netizen lain. – AGENSI