fbpx
Pesawat ringan dan komersial mempunyai perbezaan yang ketara. - Gambar hiasan

Pesawat ringan lebih sensitif aliran gelora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TRAGEDI pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) berdekatan kawasan perumahan Seksyen U16 di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu telah menggemparkan seluruh negara.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai enam penumpang dan dua anak kapal berada dalam pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.

Turut terkorban dalam nahas tersebut adalah dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di tempat pesawat itu terhempas. Semenjak itu, terdapat banyak spekulasi dan teori dikeluarkan oleh pelbagai pihak bagi merungkai misteri di sebalik kejadian malang tersebut.

Wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA berkesempatan menemu bual Pengarah Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ts. Dr. Haris Ahmad Israr Ahmad bagi merungkai kejadian itu dengan lebih mendalam.

KOSMO! AHAD: Pertama sekali boleh tuan jelaskan perbezaan yang terdapat pada pesawat ringan dan komersial terutama dari aspek keselamatan?
Haris Ahmad: Pesawat ringan dan komersial mempunyai perbezaan yang ketara dari segi reka bentuk, saiz, kapasiti penumpang, tujuan dan aspek keselamatan.

Secara amnya, pesawat komersial boleh membawa lebih ramai penumpang dan muatan berbanding pesawat ringan. Oleh itu, pesawat komersial dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan canggih seperti pengurusan penerbangan, pencegahan pelanggaran, gerakan kecemasan dan banyak lagi.

Ia berbeza dengan pesawat ringan yang mempunyai sistem keselamatan lebih sederhana. Dari segi peraturan dan persijilan, pesawat komersial juga harus mematuhi peraturan lebih ketat berbanding pesawat ringan.

Ia juga harus melalui pelbagai ujian keselamatan dan proses pensijilan yang komprehensif sebelum dibenarkan beroperasi.

Namun begitu, kedua-dua jenis pesawat tertakluk kepada peraturan dan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa.

Walaupun pesawat komersial mempunyai lebih banyak peralatan keselamatan dan keperluan kawal selia, namun pesawat ringan juga direka bentuk serta dikendalikan dengan mengambil kira keselamatan penumpang.

Secara teknikalnya, mampukah pesawat ringan mendarat dengan selamat sekiranya berlaku kerosakan teknikal pada enjin?
Ya, pesawat ringan biasanya direka dengan mengambil kira keselamatan, termasuk keupayaan untuk mendarat dengan selamat sekiranya berlaku kegagalan enjin.

Juruterbang telah dilatih dan dilengkapi dengan kemahiran untuk menguruskan situasi kecemasan, termasuk kegagalan enjin dan membuat keputusan pantas berdasarkan keadaan yang dihadapinya.

Apabila pesawat ringan satu enjin mengalami kegagalan enjin, juruterbang akan menggunakan prosedur dipanggil ‘pendaratan paksa’ untuk meluncur pesawat ke tempat pendaratan sesuai seperti padang terbuka, jalan raya atau mana-mana kawasan rata serta bebas daripada sebarang halangan.

Selain enjin, apakah faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan pesawat ringan terhempas?
Selain kegagalan enjin, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan pesawat ringan terhempas. Antara faktor lain termasuklah kesilapan juruterbang dalam mengendalikan pesawat.
Ini boleh berlaku sekiranya juruterbang membuat kesilapan mengendalikan sistem navigasi, membuat keputusan, komunikasi dengan kawalan trafik udara, kurang pengalaman mengendalikan situasi tidak dijangka dan lain-lain.

Selain itu, cuaca buruk seperti ribut petir, aliran gelora, penglihatan rendah dan angin kencang boleh menimbulkan cabaran besar kepada juruterbang, terutamanya pesawat ringan yang lebih sensitif terhadap perubahan cuaca.

Keadaan ini boleh menyebabkan pesawat hilang kawalan dan menjadi punca kemalangan apabila juruterbang tidak dapat mengekalkan kawalan. Kegagalan sistem mekanikal yang lain seperti masalah permukaan kawalan dan gear pendaratan juga boleh menjadi penyebab kemalangan.

Jika sistem avionik pesawat gagal berfungsi, juruterbang mungkin bergelut untuk mengemudi, mengekalkan ketinggian yang betul atau menguruskan pesawat dengan berkesan.

Kegagalan sistem mekanikal atau avionik ini mungkin berpunca daripada masalah penyelenggaraan pesawat lemah atau kegagalan menangani isu yang diketahui.

Faktor lain yang boleh menyebabkan kemalangan pesawat adalah pengagihan berat dan muatan salah dalam pesawat sehingga menjejaskan kestabilan serta kawalannya, sekali gus berpotensi membawa kepada kemalangan.

Akhir sekali, pelanggaran dengan pesawat, burung atau dron yang boleh menimbulkan risiko serius terutamanya di ruang udara sesak.

Hakikatnya, banyak pesawat ringan yang mengalami masalah teknikal mampu melakukan pendaratan cemas. Adakah, ia didorong oleh kecekapan dan ketepatan juruterbang membuat keputusan?
Ya, keupayaan juruterbang untuk melaksanakan pendaratan kecemasan selalunya bergantung pada kecekapan dan ketepatan kemahiran membuat keputusan serta pemanduan mereka.

Walaupun masalah teknikal dan kecemasan boleh mewujudkan situasi mencabar, namun juruterbang terlatih dan berpengalaman sepatutnya telah bersedia untuk mengendalikan situasi ini dengan berkesan.

Latihan tetap dalam prosedur kecemasan, membuat keputusan di bawah tekanan dan simulasi berasaskan senario dapat membantu juruterbang membangunkan kemahiran diperlukan untuk bertindak balas dengan sewajarnya.

Seperti diketahui, pesawat ringan terbang lebih rendah berbanding pesawat komersial. Justeru, adakah terdapat faktor muka bumi terhadap sesuatu nahas?
Ya, faktor muka bumi sememangnya memainkan peranan penting dalam operasi pesawat ringan, termasuk ketinggian dan laluan penerbangan.

Secara umumnya, pesawat ringan beroperasi pada ketinggian lebih rendah daripada pesawat komersial kerana tujuan penerbangannya bersiar-siar, latihan dan perjalanan jarak dekat. Ini menyebabkan pesawat itu lebih dekat dengan muka bumi. Jadi, juruterbang perlu sedar tentang halangan seperti gunung, bukit, pencawang elektrik dan bangunan.

Selain itu, pesawat ringan lebih sensitif kepada aliran gelora berbanding pesawat komersial.

Keadaan ini boleh memberi cabaran untuk operasi pesawat ringan terutamanya pada altitud rendah.

Oleh itu, juruterbang pesawat ringan mesti merancang laluan mereka secara berhati-hati dengan mengambil kira faktor seperti muka bumi, halangan ruang udara dan keadaan cuaca.

Penggunaan alat perancangan penerbangan yang betul dapat membantu juruterbang memilih ketinggian dan laluan selamat.

HARIS AHMAD memiliki kepakaran dalam bidang teknikal pesawat ringan.

Dengan keadaan pesawat yang berkecai dan tanpa perakam data penerbangan, bagaimanakah cara untuk menyiasat punca sebenar nahas tersebut? Apakah indikator yang perlu dipertimbangkan oleh pakar penyiasatan?
Menyiasat kemalangan pesawat, terutamanya apabila pesawat berkecai dan tidak mempunyai perakam data boleh menjadi mencabar.

Bagaimanapun, saya percaya pakar keselamatan penerbangan telah dilatih untuk kes-kes seperti ini dengan menggunakan beberapa indikator. Antara indikator yang biasa dipertimbangkan dalam kes seperti ini adalah:
i. Pemeriksaan bukti fizikal seperti menyiasat serpihan pesawat untuk mengenal pasti corak dan kesan-kesan kerosakan.

ii. Mendapatkan kenyataan daripada saksi, juruterbang lain atau kakitangan kawalan trafik udara. Mereka boleh membantu memberikan perspektif lebih luas tentang kejadian itu seperti tingkah laku pesawat, bunyi luar biasa atau butiran lain.

iii. Mendapatkan data radar dan komunikasi kawalan trafik udara bagi membina semula laluan penerbangan dan interaksi antara pesawat dan kawalan trafik udara.

iv. Mendapatkan data cuaca pada masa kejadian, termasuk kelajuan angin, arah, suhu, kadar keterlihatan dan laporan aliran gelora,

v. Membuat semakan rekod penyelenggaraan pesawat boleh memberikan maklumat tentang keadaannya, penyelenggaraan yang telah dilakukan dan sebarang isu sebelum kejadian.

vi. Melakukan analisis forensik komponen seperti enjin, permukaan kawalan dan sistem avionik boleh memberikan maklumat tentang keadaan pesawat pada hentaman dan sebarang kemungkinan kegagalan mekanikal.

vii. Menyemak profil dan latihan juruterbang serta menyiasat pengalaman juruterbang yang terlibat bagi membantu menentukan sama ada kesilapan atau kemahiran juruterbang memainkan peranan dalam insiden itu.

viii. Membangunkan kaedah pemodelan komputer untuk membuat simulasi laluan penerbangan, keadaan aerodinamik dan kemungkinan senario yang membawa kepada kemalangan.

Ada pihak menganggap Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang) sudah tidak sesuai digunakan kerana dipenuhi pembangunan pesat. Boleh tuan ulas perkara ini?
Seperti sedia maklum, Lapangan Terbang Subang telah lama beroperasi dan terletak berhampiran dengan bandar pesat membangun.

Ia mungkin boleh menjejaskan operasi penerbangan dan pengurusan trafik udara serta mengancam keselamatan serta kadar kebisingan pada kawasan sekitar.

Saya berpandangan, pihak berkuasa perlu bekerjasama menjalankan penilaian keselamatan menyeluruh.

Ia mungkin melibatkan penilaian halangan, laluan penerbangan, pendekatan dan prosedur berlepas serta infrastruktur lapangan terbang itu secara menyeluruh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN