fbpx
AMELIA HENDERSON

Amelia Henderson ‘keringkan’ hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUAT Amelia Henderson, tiada apa lebih didambakannya sekarang melainkan kerjaya seninya bergulir deras biarpun kadang-kadang diuji dengan sepak terajang industri yang melelahkan.

Dia sedar, apa sahaja tindak-tanduknya, suka atau tidak, tetap akan menjadi perhatian khalayak kerana masih memegang status sebagai seorang figura popular.

Cerita ‘mahkamah’ dengan penerbit, Datuk A. Aida masih berjalan dan dia tidak mahu terlalu pusing akan perihal terbabit sebaliknya meletakkan fokus tidak berbelah bahagi terhadap apa yang sepatutnya iaitu kerja seni.

Pemilik nama lengkap, Amelia Thripura Henderson itu turut ‘berselirat’ dengan gosip percintaan dengan aktor kacak, Aedy Ashraf sehingga disangka bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Kenyataan pada perenggan di atas adalah disebabkan keintiman yang tercetus antaranya dengan Aedy dalam satu video TikTok viral baru-baru ini yang memaparkan dirinya berpimpinan tangan dan bersayang-sayang dengan lelaki kacak itu.

AMELIA tidak mempunyai perancangan untuk bernikah dengan Aedy Ashraf dalam masa terdekat.

Ketawa sebab netizen

Amelia, 28, memaklumkan, kalau benar hari bahagianya semakin menghampiri, perihal terbabit akan datang sendiri dari bibirnya.

“Kalau benar saya akan berkahwin, perkara itu akan datang dari saya, bukan daripada mana-mana pihak,” katanya kepada HibGlam usai sidang media drama terbaharu lakonannya, One Million Dollar Voice di ibu negara.

Jelasnya lagi, dia dengan Aedy sememangnya rapat dan itu sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Orang ramai sedia maklum tentang perkara terbabit, getusnya.

“Saya dan Aedy memang rapat. Kami berlakon sejak kecil dan boleh kata, membesar sama-sama dalam industri.

“Saya tidak nafikan yang dia merupakan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang. Kalau sampai nak bernikah dalam waktu terdekat, persoalan itu saya sendiri tiada jawapan.

“Atau lebih baik soalan itu (pernikahan) adalah lebih baik diajukan kepada pihak lelaki. Yang pasti dari bibir saya, memang tiada dan apabila saya sendiri dengar buat saya tertawa,” ujarnya.

Terkejut dengan spekulasi yang dibikin sendiri peminat, Amelia bagaimanapun tertawa saat ditebak lebih mendalam tentang isu berkenaan.

“Ibu saya sendiri yang hantar tangkap layar gosip bertanyakan sama ada benar saya dan Aedy akan berkahwin. Saya pun hantar kepada Aedy dan kami semua runsing dengan apa yang diborakkan netizen.

“Saya tak anggap benda ini serius pun sebenarnya. Netizen memang pandai mereka-reka cerita sampai saya sendiri terhibur sebenarnya (tertawa),” terangnya.

Amelia melakonkan seorang pelacur bernama Zana dalam drama One Milion Dollar Voice arahan pengarah Michael Ang.

Reputasi tercalar

Menoktahkan cerita kasmaran bersama Aedy, Amelia sedikit serius melantunkan bicara tentang kes mahkamah dirinya dengan A. Aida.

Cuba menjadi seorang yang berhati ‘kering’, Amelia cuba meneruskan kehidupan seperti biasa dan tidak mahu terlalu terkesan dengan apa yang berlaku.

“Tipu jika tak terkesan bila dilabelkan degil dan sombong. Tiada manusia dalam dunia ini rela bila dicemuh, tetapi saya bersyukur keluarga dan rakan baik lebih mengenali saya.

“Jika bercakap dari sudut profesional, saya tak terkesan bila dianggap degil dan sombong. Ini kerana orang sekeliling kenal saya.

“Namun, saya terasa bila membaca komen netizen. Rasa sakit pasti ada, saya juga bimbang persepsi ini memberi tanggapan buruk terhadap saya dan pekerjaan,” katanya.

Wanita yang menceburkan diri dalam dunia hiburan seawal usia 10 bulan itu berkata, andai benar dirinya bermasalah, sombong dan keras kepala, mungkin kariernya sudah lama berkubur.

“Mana mungkin saya bertahan selama 27 tahun jika sombong dan degil.

“Saya yakin ini disebabkan saya bina reputasi baik dengan penggiat seni. Saya berterima kasih kepada produksi yang sudi dan masih beri kepercayaan walaupun saya berperang dalam keadaan ini,” katanya.

Ujar Amelia, tindakan diambil juga bukan dilakukan mengikut perasaan, namun mendapat nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang undang-undang.

“Langkah saya mempertahankan nama dan kerjaya tidak dilakukan ikut emosi semata-mata. Tiba-tiba bangun tidur rasa nak ambil tindakan, bukan begitu.

Berkecimpung dalam dunia seni sejak kecil, Amelia pertama kali dihimpit situasi naik turun mahkamah akibat pelanggaran terma kontrak drama terbitan produksi milik, Datuk A. Aida.

Jadi pelacur

“Semuanya dibuat atas pertimbangan. Saya tak pernah turun naik mahkamah dan saya juga tidak faham mengenai prosedur mahkamah.

“Jadi, saya mendapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang perundangan untuk dapatkan keputusan betul,” ujarnya panjang lebar.

Amelia yang memainkan karakter Zana dalam One Million Dollar Voice turut berkongsi pengalaman berlakon watak terbabit.

Melakonkan watak seorang pelacur yang ingin keluar daripada kehidupan ‘gelap’, dia tidak kisah dengan tanggapan audiens kerana baginya, penonton sekarang sudah bijak menilai.

“Penonton dah pandai sekarang. Tidak bermaksud kita berlakon watak pelacur, dalam kehidupan sebenar kita sebegitu atau kita menyokong kerjaya terbabit.

“Apa yang ingin disampaikan adalah mesej dalam drama iaitu walaupun bekerja melayani nafsu lelaki, tidak semua yang tergolong dalam profesion itu melakukannya dengan rela hati.

“Ada yang nak keluar daripada dunia kotor itu dan memulakan kehidupan yang baharu,” katanya menggulung bicara.

Tidak menafikan hubungan dengan Aedy merupakan sesuatu yang istimewa, Amelia bagaimanapun belum bersedia untuk ke jenjang pelamin sekali lagi. – Foto INSTAGRAM AMELIA/ASTRO
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN