GAMBAR HIASAN

Elok periksa mental setahun sekali, takut-takut ada penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Akhir-akhir ini ramai pula tertuduh diarahkan menjalani pemeriksaan mental sebelum pendakwaan diteruskan.

Selain itu, ada peguam bela yang memohon mahkamah membenarkan anak guam mereka dirujuk kepada pakar psikitari bagi mengenal pasti sama ada tertuduh mempunyai penyakit mental atau tidak.

Misalnya pada 17 Mac lalu, Mahkamah Majistret Kangar mengarahkan seorang lans koperal yang dituduh menembak isterinya hingga mati di bilik tidur menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri.

Pada 3 Ogos pula, peguam bela seorang lelaki yang didakwa membunuh dan membakar kekasih hamil dengan kejam pada Mei lalu di Sabak Bernam memohon Mahkamah Majistret agar anak guamnya dirujuk kepada pakar hospital psikiatri.

Berdasarkan hasil temu bual dengan tertuduh, peguam bela suspek mempunyai keterangan terbaharu berkaitan keadaan mental anak guamnya.

Pada 10 Ogos lalu, seorang bekas pereka sambilan yang menjadi individu pertama didakwa atas kesalahan menghendap diarahkan Mahkamah Majistret Shah Alam menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta selama sebulan.

Tertuduh didakwa secara berulang mengganggu seorang jurugambar wanita dengan menghantar mesej lucah melalui media sosial mangsa sejak 2018.

Masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) meningkat lima kali ganda pada 2021 berbanding 2020.

Pada 2021, sebanyak 212,319 panggilan diterima MHPSS berbanding pada tahun sebelumnya dengan 44,061 panggilan.

Antara faktor penyumbang kepada masalah itu adalah krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan pekerjaan, masalah keluarga dan persekitaran.

Akibatnya, banyak kes bunuh diri dilaporkan, malah lebih menakutkan apabila ahli keluarga sendiri yang menjadi mangsa.

Manusia waras kebanyakannya tidak akan melakukan tindakan seperti itu.

Isu kesihatan mental umpama bom jangka, bila-bila masa sahaja boleh meletup. Ada orang yang berada di sekeliling kita nampak waras seperti manusia normal, tetapi rupa-rupanya mental. Malah, mereka sendiri pun tidak menyedarinya.

Rakyat Malaysia sepatutnya tidak malu untuk mendapatkan bantuan pakar apabila berdepan masalah kesihatan mental.

Diagnosis perlu dilakukan terutama bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit ini dan seterusnya menjalani rawatan lanjut sebelum ia menjadi parah.

Sepatutnya pemeriksaan kesihatan mental dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali terutama bagi mereka yang berisiko, sama seperti pemeriksaan kesihatan lain.

Jangan hanya bacaan darah seperti tahap kolesterol atau gula berada pada paras normal, tetapi rupa-rupanya mempunyai masalah mental yang lebih berbahaya daripada penyakit tiga serangkai.

Kerajaan pula perlu memperhebatkan lagi kempen pemeriksaan kesihatan mental dan menyalurkan maklumat lengkap di mana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan itu di fasiliti kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN