MUTAKHIR ini kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Maka tidak hairanlah, kini beberapa jenama EV mula memasuki pasaran negara ini berikutan permintaan tinggi terhadap kenderaan tersebut.
Malah, kerajaan sendiri melaksanakan beberapa inisiatif dalam memacu sektor EV di negara ini.
Bagi membincangkan perihal berkaitan EV, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pakar Automotif, Datuk Ir. Mohamad Dalib baru-baru ini.
KOSMO!AHAD: Pertama sekali boleh Datuk perincikan kereta petrol, hibrid dan EV. Apakah yang membezakan setiap satunya?
DATUK IR. MOHAMAD: Jika kita perhatikan kesemua kereta ini daripada pandangan mata kasar ia adalah serupa, tetapi tidak sama.
Malah, kereta ini juga menjadi semakin berevolusi, di mana dahulu kita ada kenderaan diesel, petrol, kenderaan gas asli (NGV), kemudian hibrid dan terkini EV.
Apa yang membezakannya adalah penggunaan bahan bakar seperti diesel, petrol dan NGV untuk menghasilkan tenaga bagi menggerakkan kenderaan tersebut.
Bagi EV, ia menggunakan tenaga yang disimpan dalam bateri untuk tujuan tersebut.
Selain itu, apa yang membezakannya lagi adalah kenderaan diesel, petrol dan hibrid mempunyai enjin, manakala EV menggunakan motor.
Bidang automotif ini adalah tanpa sempadan dan meluas. Jadi, tidak hairanlah hari ini kita menyaksikan kereta dihasilkan menggunakan pelbagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga.
Hari ini dekat Jerman dan beberapa negara luar, mereka telah mempromosikan kenderaan yang dinamakan sebagai hidrogen cell yang menggunakan gas hidrogen sebagai bahan bakarnya.
Semakin ramai masyarakat di negara ini terutamanya golongan berada yang tinggal di bandar besar memilih menggunakan kenderaan EV. Pada pendapat Datuk, adakah ia praktikal buat masa ini?
Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini ia belum benar-benar praktikal kerana masalah utama adalah kita kekurangan infrastruktur untuk pengecasan EV.
Tidak banyak tempat menyediakan kemudahan ini dan jika ada sekalipun ia masih terhad.
Malah, jika kita lihat di kawasan bandar terutamanya tempat pengecasan EV di pusat beli-belah dan stesen minyak masih tidak sepenuhnya ada.
Meskipun kemudahan pengecasan EV ini tersedia di beberapa tempat, namun sebenarnya setiap kenderaan ini mengambil masa untuk mengecas.
Kenderaan EV ini biasanya mempunyai pengecasan pantas dan juga pengecasan ‘overnight’.
Bagi pengecasan ‘overnight’ masa yang diambil adalah sekitar enam hingga lapan jam untuk penuh.
Begitu juga untuk pengecasan pantas, pengguna perlu menunggu satu tempoh untuk bateri dicas bagi mendapatkan tenaga.
Malah, tidak semua pemilik EV ini mempunyai kemudahan pengecasan di rumah masing-masing.
Apa yang boleh saya simpulkan, buat masa ini kita masih belum bersedia sepenuhnya untuk beralih kepada EV jika infrastruktur sebegini tidak tersedia sepenuhnya.
Ketika ini, banyak jenama mula memperkenalkan EV pada harga mampu milik seperti Tesla dan BYD. Bagaimanakah cara membezakan jenama EV berkualiti dan tidak berkualiti?
Kesemua kereta ini ada kualitinya mengikut syarikat pembuatan masing-masing.
Ini kerana, semua kereta yang ingin bergerak di atas jalan di Malaysia perlu mendapat kelulusan di bawah Seksyen 66(1)(pp) yang dipanggil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).
Semua kereta berkualiti, tetapi ia bergantung juga kepada cara kita menjaga dan menggunakannya.
Kalau kereta tersebut tidak berkualiti ia tidak akan dapat kelulusan pihak berkuasa.
Apakah elemen-elemen yang perlu dipertimbangkan sebelum seseorang itu membeli EV bagi memastikan pelaburan dibuat berbaloi?
Hari ini orang yang memiliki EV adalah mereka yang mempunyai wang. Jika mereka mempunyai keinginan untuk memilikinya, wang bukan menjadi masalah.
Kebiasaannya, mereka memilikinya turut mempunyai kereta lain dan EV ini sebagai kenderaan kedua.
Jika kita mempunyai hanya sebuah EV untuk kegunaan harian, kita harus memikirkan hal-hal berkaitan pengecasan bateri.
Ini kerana ia mengambil masa dengan kemudahan terhad.
Mungkin ada yang tidak suka menunggu lama, jadi mereka memilih untuk menggunakan kereta biasa.
Ada segelintir pihak berpendapat, EV mampu menjimatkan wang kerana tidak perlu membayar petrol. Bagaimana pula dengan penggunaan elektrik di rumah, adakah ia betul-betul menjimatkan? Minta penjelasan.
Sebenarnya petrol ini kita nampak harganya secara mata kasar dan tidak bagi tenaga elektrik.
Ini kerana, bil elektrik akan datang sebulan sekali dan ia bergantung kepada berapa kilowatt (kW) yang kita guna untuk mengecas EV.
Kita rasa jimat mungkin disebabkan pembayaran bil elektrik ini dibuat sebulan sekali.
Siapa yang menggunakan EV, mereka mengetahui perbezaan penjimatan antara petrol dan tenaga elektrik.
Namun hari ini, pengecasan EV di luar boleh dikatakan lebih mahal dan harganya masih tidak seragam berbanding petrol.
Seperti semua sedia maklum, harga EV ini jauh lebih mahal berbanding kereta konvensional. Bagaimanapun, EV ini dikatakan mampu menjimatkan dari segi kos penyelenggaraan berkala. Pada dasarnya, adakah penjimatan ini berlaku apabila menggunakan EV?
Jika kita hendak bandingkan EV dengan kereta-kereta konvensional ia sememangnya masih lagi mahal.
Tetapi, jika kita ingin bandingkan tentang kos penyelenggaraan antara EV dengan kereta biasanya ia jauh lebih murah.
EV ini tidak ada apa yang perlu diselenggarakan terutama pada bahagian motornya dan tidak menggunakan minyak hitam, filter dan sebagainya seperti kereta lain.
EV ini juga berfungsi secara terus, di mana tenaga dari bateri terus disalurkan ke bahagian motor untuk menggerakkan kenderaan tersebut.
Mungkin kita hanya perlu selenggara motor EV ini pada jarak setiap 30,000 kilometer (km) atau 50,000 (km) sahaja.

Satu lagi naratif buruk terhadap EV adalah bateri. Ini kerana harga baterinya jauh lebih mahal berbanding bateri kereta biasa. Namun, ia tahan lebih lama. Adakah harga bateri ini mampu dikurangkan pada masa depan hasil perkembangan teknologi?
Buat masa ini, negara kita masih belum mempunyai keupayaan untuk menghasilkan bateri EV.
Bateri ini masih diimport dan sudah semestinya ia mahal.
Komponen yang paling mahal untuk EV ini adalah baterinya sendiri, maka tidak hairanlah kita melihat harga kereta ini juga mahal.
Selain itu, jangka hayat bateri ini bergantung kepada macam mana kita menggunakannya.
Jika kita selalu ‘overcharge’ bateri ini adakah ia boleh bertahan sehingga lima tahun?
Harga untuk menggantikan bateri kereta EV ini juga boleh dikatakan mahal.
Untuk masa hadapan, adakah harga bateri ini mampu dikurangkan? Saya sendiri tidak pasti mengenainya kerana ia bergantung kepada pasaran dunia.
Tetapi, jika negara kita mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan bateri ini sendiri mungkin harganya mampu dikurangkan.
Sekiranya kita masih bergantung kepada negara luar, kita tidak boleh menjangkakan harganya atas beberapa faktor seperti kadar tukaran asing dan sebagainya.
Difahamkan Britain akan melarang kenderaan petrol menjelang 2023. Adakah ia mampu dilaksanakan dan bagaimana pula dengan konteks Malaysia?
Di Britain, larangan ini hanya melibatkan kawasan bandar, tetapi di Eropah kini sedang ‘hot’ dengan
enjin hidrogen cell.
Kereta berteraskan hidrogen cell ini akan menjadi kenderaan masa depan dalam usaha merendahkan karbon.
Dalam kereta diesel atau petrol akan diletakkan komponen hidrogen cell untuk tujuan tersebut.
Tetapi apa yang penting adalah bagaimana kita hendak kawal dan merendahkan karbon di kawasan bandar.
Sebenarnya, agak sukar kita hendak mendapat sifar karbon dan ia boleh dilakukan dengan mengguna EV.
Namun, kita harus ingat kesan disebaliknya EV ini adalah pelepasan karbon akan lebih teruk di peringkat stesen jana kuasa elektrik.
Untuk konteks Malaysia pula, saya berpandangan, semua bergantung kepada pandangan dan pemerhatian rakyat terhadap EV.
Jika mereka berkemampuan membeli kereta itu, ia tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, kita harus mengerti dalam tempoh 10 tahun lagi, bateri kereta ini akan bermasalah.
Jadi, apa yang akan kita lakukan memandangkan harga baterinya lebih mahal berbanding kereta biasa.














