Habis sudah pilihan raya enam negeri Sabtu lalu yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 146 kerusi, Pakatan Harapan (PH) sebanyak 80 kerusi dan Barisan Nasional (BN) pula 19 kerusi.
Ramalan beberapa tokoh politik ketika tempoh berkempen 12 hari adalah kemenangan 3-3, ramai yang mengena.
Enam negeri tidak beralih kuasa, tetapi pertambahan kerusi kepada Perikatan Nasional dilihat ketara terutama undi oleh penjawat awam iaitu tentera bukan kepada parti pemerintahan Persekutuan.
Penulis tertarik kepada beberapa video di TikTok mengenai usikan cucu kepada nenek dan datuk mereka yang bertanya calon yang dipangkah di atas kertas undi.
Ternyata pengundi warga emas itu terang-terangan menyatakan terpaksa mengundi Perikatan Nasional kerana tiada lambang dacing iaitu BN pada kertas undi.
Mula-mula jawapan warga emas itu agak mencuit hati, tetapi apabila banyak video seumpama itu lalu di TikTok, ia perlu diambil perhatian juga oleh parti berkenaan.
Akar umbi mereka yang teguh dan tidak goyang selama ini bersama mereka akhirnya terpaksa memangkah parti lain.
Penat lelah 12 hari berkempen akhirnya berbaloi kepada calon yang menang, sekarang rakyat menantikan usaha dan tanggungjawab mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah bergelar Yang Berhormat (YB).
Calon popular seperti Baddrol Bakhtiar berjaya ‘menakluk’ Gurun setelah sekian lama dikuasai oleh PH dengan majoriti agak besar.
YB muda yang juga bekas kapten bola sepak kebangsaan itu juga pernah berjanji akan menyatakan manifestonya setelah menang perlu tunaikan janjinya.
Rakyar di Gurun menanti-nantikan usaha yang akan dilakukannya kawasan itu, jadi dia kena berusaha bersungguh-sungguh kerana lima tahun hanya sekejap.
Pejam celik, pejam celik susah habis sepenggal, rakyat sekarang sudah cerdik, peranan media sosial sangat tinggi, kerana baik buruk semua YB akan ada dalam video alam maya itu.
Ia akan dikongsi sehingga ratusan kali jika sekalian YB tersilap langkah. Jika masih ingat ketika tempoh berkempen tempoh hari, semua cerita dalam kelambu calon semua ada dalam TikTok.
Jadi YB zaman sekarang tidak sesenang dahulu, boleh ambik duit bawah meja boleh bersembang kencang dalam WhatsApp.
Semua itu akan bocor ketika tempoh berkempen, tangkap layar dan video akan bersepah di media sosial sehingga memalukan calon.
Jadi, apabila sudah mendapat gelaran YB, jagalah kawasan itu dengan sebaiknya, jangan sombong ketika rakyat meminta pertolongan, jangan lari ketika dicari rakyat dan tidak lokek melawat rakyat dalam kesusahan.
Semua itu disimpan dalam ‘perut’ rakyat dan akan diterjemahkan dalam peti undi setiap lima tahun. Selamat bekerja YB.














