BARANGKALI jarang ada peminat muzik yang tidak pernah terbuai dek karya lunak Repvblik. Pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu, sehingga kini lagu-lagu dendangan mereka masih menjadi siulan anak muda zaman sekarang.
Tidak hanya omongan, gelanggang Zepp Kuala Lumpur pada 11 Ogos lalu menjadi saksi persembahan cemerlang mereka menerusi Konsert Repvblik 19th Anniversary Live In Kuala Lumpur.
Tepat pukul 9 malam, kemunculan kumpulan itu disambut teriakan peminat yang sudah lama kehausan hiburan langsung daripada penyanyi pujaan mereka.
Tampil sederhana, barisan pemuzik asal Bogor itu hanya mengenakan sepersalinan busana sepanjang konsert, malah vokalisnya Ruri Herdian Wantogia santai mengayakan jaket kulit hitam diacu baju-T bersama celana jeans.
Konsert berdurasi hampir dua jam itu tidak sedikit pun mencetuskan rasa mengantuk, bahkan khalayak terutamanya anak gadis bagai tidak keruan apabila suara vokalis tampan bertubuh kekar itu memberi salam tanda ingin mula persembahan.

Melankolik
Khalayak tahu rantaian lagu hits kumpulan dibarisi empat lelaki itu bakal membawa mereka ke terowong masa, seiring imbasan semula kisah cinta yang mungkin pernah mekar berlatarkan lagu-lagu dendangan.
Repertoire persembahan terisi dengan Tiada Guna Lagi, Sakit Aku Sakit dan Jika Aku Mati diikuti dengan lagu yang membuat 1,700 penonton melompat dan menari bersama-sama seperti Harus Berbuat Apa Lagi dan Aku Tetap Cinta.
Repvblik melantunkan lebih 15 dendangan termasuk lagu-lagu hits yang pernah menjadi siulan, bahkan fenomena dalam arena muzik tanah air suatu ketika dahulu.
Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan lagi persembahan istimewa khas buat rakyat Malaysia menerusi lagu cover daripada kumpulan Exists iaitu Mengintai Dari Tirai Kamar, namun dengan versi terbaharu Buih Jadi Permaidani.
Bayangkan, penonton yang sedang khayal dibuai seleksi ‘healing’ kembali berteriak sebaik vokalis mula membuka mulut menyanyi lagu popular Exists itu, sekali gus menghangatkan lagi malam penuh nostalgia tersebut.
Kata Ruri, tidak lengkap persembahannya tanpa menghadiahkan sebuah lagu malar segar asal Malaysia yang juga alunan kegemaran rakyat Indonesia.
“Saya rasa janggal jika datang buat konsert di Malaysia tanpa menyanyikan lagu asal sini, jadi kalian sudah bersedia mahu dengar saya menyanyi lagu apa? Terimalah hadiah untuk kesayangan saya semua,” jerit Ruri menambah keterujaan.
Justeru, nyanyian sepenuh hati kumpulan seberang itu menjadi sing along penonton yang sudah sebati melumati lirik dan melodi sekian banyak masa.
Terlihat ada audiens melambaikan tangan mengikuti alunan syahdu muzik, terdapat juga suami isteri turut menyanyi sambil memeluk cinta hati di sisi barangkali teringat kembali memori indah yang pernah terpateri.

Segmen
Istimewanya, penonton yang hadir tidak cuma disajikan dengan suara seksi sang vokalis, malah dihiburkan juga dengan alunan muzik tiga lagi ahli kumpulan yang lain sebagai pengenalan diri dan peranan masing-masing.
Bermula dengan Tyar sebagai pemain keyboard, siapa sangka jejaka yang biasanya hanya menekan notasi keyboard itu bersuara lunak.
Seraya bermain keyboard dia melantunkan lagu Beta Janji Beta Jaga, nyatanya Zepp KL sekali lagi menjadi gegak gempita.
Momentum konsert diteruskan pula Ei yang mempamerkan kehandalan ‘menggoreng’ tali gitarnya.
Lavy di posisi bes mengambil giliran menyeimbangkan bunyi yang dihasilkan supaya lebih megah dan tidak terlalu bingit sehingga merosakkan mood malam mengusik jiwa itu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan konsert malam itu punyai kualiti tinggi, selain mempamerkan keaslian aura selain berpasak pada identiti tersendiri yang tidak mungkin terciplak oleh kumpulan lain.

Bertenaga
Persembahan diteruskan lagi dengan tenaga maksima seiring sokongan penuh daripada peminat yang sejak awal bersorak demi mereka.
Ketika peminat larut dalam kesyahduan paduan suara dan kehandalan instrumen setiap ahli kumpulan, deru adrenalin konsert diteruskan dengan Sayang Sampai Mati, Aku Takut, Andaikan dan Selimut Tetangga sebelum menutup persembahan.
Kehangatan suasana yang sarat penonton membuktikan Repvblik terus relevan biarpun hampir dua dekad ditubuhkan.
Tidak berundur tanpa lagu wajib, Sandiwara Cinta sebagai seruan buat semua yang pernah diselingkuhi, suara penonton nyata bergema mengikut bait lirik lagu yang sudah sebati berbekas di jiwa.
Barangkali disebabkan itu, lagu tersebut berjaya merekodkan jumlah tertinggi tontonan sebanyak 115 juta menerusi platform YouTube.
Kehadiran penonton daripada pelbagai lapisan umur menjadi bukti konkrit, usia tua atau muda, mereka tetap sempurna melukis memori bersama larut dalam alunan lirik lagu penuh makna.

Sebagai penutup, Ruri selaku vokalis menyatakan terima kasih kepada para peminat yang tidak pernah jemu menyokong karya mereka sejak dari awal kumpulan tersebut ditubuhkan.
Tidak berundur tanpa lagu wajib, Sandiwara Cinta sebagai seruan buat semua yang pernah diselingkuhi, suara penonton nyata bergema mengikut bait lirik lagu yang sudah sebati berbekas di jiwa.
Barangkali disebabkan itu, lagu tersebut berjaya merekodkan jumlah tertinggi tontonan sebanyak 115 juta menerusi platform YouTube.
Kehadiran penonton daripada pelbagai lapisan umur menjadi bukti konkrit, usia tua atau muda, mereka tetap sempurna melukis memori bersama larut dalam alunan lirik lagu penuh makna.
Sebagai penutup, Ruri selaku vokalis menyatakan terima kasih kepada para peminat yang tidak pernah jemu menyokong karya mereka sejak dari awal kumpulan tersebut ditubuhkan.
“Terima kasih kepada semua peminat yang hadir untuk bersama kami.
“Kami begitu teruja untuk tampil di sini membuat persembahan dan meraikan kalian, kami harap dapat buat konsert lagi nanti,” katanya menutup persembahan.















