PETALING JAYA – Penahanan seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang kepada pengedaran dadah jenis syabu bernilai RM5 juta di Serdang dekat sini pada Selasa lalu mendedahkan penipuan di sebalik gelaran ‘Datuk Seri’ yang digunakan suspek.
Sumber berkata, suspek berusia 31 tahun yang juga suami kepada seorang usahawan produk kecantikan di Pantai Timur itu menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu yang dibeli pada harga lebih RM100,000.
Difahamkan, gelaran tersebut telah dibeli oleh suspek dari satu sindiket, namun tiada sebarang majlis pemakaian pingat dilangsungkan.
“Siasatan awal kita turut mendapati suspek sudah terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu.
“Turut ditahan bagi membantu siasatan adalah adik kepada suspek utama itu,” kata sumber ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Pasangan berkenaan juga pernah menjemput seorang artis tempatan untuk menjadi duta produk ketika pelancaran produk di ibu negara beberapa bulan lalu.
Kosmo! semalam melaporkan kejayaan polis merampas dadah jenis syabu seberat 120 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM5 juta dalam serbuan di tempat letak kenderaan di belakang pusat beli-belah South City Plaza, Serdang pada Selasa lalu.
Serbuan pada pukul 5.30 petang itu membawa kepada tangkapan lima suspek termasuk dalang sindiket pengedaran dadah bergelar ‘Datuk Seri’.
Satu sumber berkata, lelaki yang mendakwa dirinya Datuk Seri berusia 31 tahun itu adalah suami kepada usahawan kosmetik di Pantai Timur.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dijadual mengadakan satu sidang akhbar berhubung kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.















