AMPANG – Tindakan sesetengah bank yang didakwa menjual maklumat akaun peminjam berstatus hutang lapuk bukan sahaja mengakibatkan mangsa trauma, malah mengakibatkan penghutang membayar baki pinjaman lebih banyak daripada biasa.
Difahamkan, maklumat itu dijual kepada pihak ketiga tanpa membuat perintah letak hak (vesting order) dengan alasan peminjam tidak dapat melunaskan hutang seperti dikehendaki.
Akibatnya, peminjam terpaksa membayar hutang lebih banyak dan berdepan dengan pengutip biadab serta berlagak seperti along.
Salah seorang mangsa dikenali sebagai Salim, 63, berkata, dia terperangkap selepas gagal melunaskan hutang membiayai pinjaman rumah yang dibuat dengan sebuah bank.
“Kejadian berlaku pada Oktober 2021 ketika Covid-19. Jadi untuk mengurangkan hutang, saya telah meminta moratorium.
“Rumah saya hampir dilelong oleh pihak ketiga kononnya atas arahan bank kerana saya tak mampu bayar hutang tertunggak,” katanya ketika ditemui semasa membuat aduan ke Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) di sini.
Menurut Salim, pihak berkenaan menunjukkan surat mahkamah dan memerintahkannya keluar kerana gagal melunaskan tunggakan. Mereka juga berlagak seperti along dan enggan bertolak ansur.
Tambahnya, dia membuat pinjaman pada 2005 dan perlu membayar lebih RM300,000 lagi walaupun jumlah pinjaman sebanyak RM240,000.
“Saya kecewa maklumat saya dijual oleh pihak bank. Mereka seperti along hingga mengakibatkan saya takut dan tertekan,” katanya.
Ujar Salim, dia akur jika tidak tidak membayar langsung tetapi sudah hampir 13 tahun dia berbuat demikian hingga baki kini tinggal 12 tahun sahaja lagi.
Seorang lagi mangsa, Halim (bukan nama sebenar), 46, juga mendakwa mengalami situasi getir apabila diugut oleh pengutip hutang daripada pihak ketiga.
“Saya dan ahli keluarga tinggal di rumah milik arwah ayah. Rumah tersebut masih belum dipindah milik, jadi ia merupakan harta ayah saya dan bukannya orang lain.
“Kakak kemudian buat pinjaman bank kerana desakan hidup dan ada berbaki RM3,000 lagi. Kemudian ada orang
datang mengaku sebagai pengutip hutang dan memaklumkan rumah bakal dilelong kerana hutang sudah lama tidak dibayar,” katanya.
Seorang pesara, Ikhsan, 78, pula terpaksa berhijrah dari Rawang, Selangor ke Perak bersama isteri dan anak-anak kerana tertekan dengan gangguan oleh pengutip hutang.
“Ketika saya tinggal di Rawang, pengutip hutang telah datang ke rumah saya membawa perintah sitaan. Habis semua barang saya di dalam rumah tersebut disita tanpa ada tinggal satupun.
“Tetapi, rumah saya duduk pada waktu itu merupakan rumah sewa. Bank kata mereka tidak pernah keluarkan arahan tetapi persoalannya dari mana pengutip hutang itu tahu?” soalnya.
Sementara itu, Peguambela dan Peguamcara, Azrin Zahri berkata, masyarakat perlu tahu bank tidak boleh menyerahkan hak hutang atau akaun sesiapapun kepada pihak ketiga tanpa perintah vesting order daripada mahkamah.
“Ada garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi terutama kepada individu yang mempunyai pinjaman berstatus pinjaman tidak berbayar (non-performing loan),” katanya ketika ditemui.
















