IPOH – Bandar raya Ipoh menjadi tuan rumah bagi pertemuan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang akan diadakan esok khusus bagi membincangkan jaringan kerjasama ketiga-tiga negara dalam menjayakan pelan tindakan inisiatif hijau.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dua mesyuarat penting melibatkan Majlis Dato Bandar Bagi Bandar Hijau (GCMC) Ke-6 dan Mesyuarat Majlis Hijau (GCM) Ke-6 akan diadakan sempena pertemuan dua hari yang dihadiri ketua-ketua delegasi ketiga-tiga negara itu.
“Ketua-ketua delegasi juga dijadual mendengar pembentangan oleh wakil Bank Pembangunan Asia (ADB) berhubung Pemangkin Kemudahan Kewangan Hijau Asean (ACGF) yang bertujuan memudahkan pembiayaan bagi pembangunan inisiatif hijau di negara-negara peserta.
“Pertemuan tersebut dijangka akan membincangkan laporan, cadangan dan input GCMC dan GCM berkaitan komitmen ketiga-tiga negara dalam mengarusperdanakan pembangunan bandar mampan di seluruh bandar negara peserta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pertemuan itu juga penting bagi mengukuhkan jaringan kerjasama dalam tindakan iklim, promosi amalan pengeluaran hijau dan memanfaatkan kemahiran serta pengetahuan entiti swasta untuk mempercepat pelaksanaan Kerangka Pembangunan Bandar Mampan (SUDF).
“Pada masa sama, dua mesyuarat yang diadakan sempena pertemuan ini diharap dapat memperkukuhkan perkongsian dan kerjasama merentasi koridor ekonomi yang lebih luas demi manfaat bersama,” katanya.
Saarani dijadualkan menyampaikan ucaptama pada pertemuan tersebut dan disusuli dengan laporan GCMC dan GCM, taklimat Laporan Kemajuan Segitiga Pertumbuhan IMT-GT dan pembentangan oleh wakil ADB.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil perbincangan dalam pertemuan berkenaan dijangka akan diumumkan dalam Forum Ketua Menteri dan Gabenor IMT-GT yang dijadual berlangsung pada 27 September ini di Batam, Indonesia.
Tambah beliau, pemilihan Ipoh sebagai tuan rumah mesyuarat kali ini juga amat signifikan dalam kesiapsiagaan Perak untuk menjayakan Tahun Melawat Perak 2024. – KOSMO! ONLINE














