PADANG BESAR – Kehadiran pelancong yang ramai terutama pada cuti sekolah dan cuti umum dianggap sebagai ‘durian runtuh’ bagi peniaga-peniaga dari Thailand yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan di beberapa lokasi perniagaan di sini.
Seorang peniaga warga Thailand dikenali sebagai Fateema, 50-an berkata, dia sendiri mula berniaga di pusat tumpuan pelancong itu sejak sempadan negara dibuka semula susulan pandemik Covid-19.
Fateema juga tidak menafikan ada dalam kalangan penduduk tempatan yang mempunyai lesen dan tapak perniagaan yang mengamalkan sistem sewa atas sewa dengan peniaga dari Thailand.
“Bagi peniaga Thailand, kawasan Padang Besar di Malaysia ini umpama lubuk emas kerana ia adalah tumpuan pelancong.
“Keadaan itu membuatkan sesiapa sahaja di Thailand, jika ditawarkan untuk menyewa tapak perniagaan di kawasan ini akan merebut peluang itu walaupun perlu bayar dua kali ganda daripada harga sewa asal,” katanya.
Tambahnya lagi, harga sewa tapak yang dikenakan bergantung kepada luas saiz tapak niaga bermula antara RM1,500 hingga RM2,500 dan ada peniaga dari negara jiran sanggup membayar deposit setahun untuk mendapatkan tapak niaga.
Fateema berkata, kesukaran untuk berniaga di Thailand menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk mencari rezeki di Padang Besar.
“Kebanyakan penduduk Thailand dari wilayah selatan seperti Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun mampu berbahasa Melayu dan ia membantu kami berniaga di sini,” jelasnya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di Padang Besar sebelah Thailand mendapati, perniagaan di sana agak suram berbanding Padang Besar di sini.
“Suasana perniagaan di Thailand tidak seperti dahulu kerana jumlah pelancong dari Malaysia ke sana sangat berkurangan.
“Kini, saya hanya menggunakan media sosial untuk menjual pelbagai jenis produk termasuk dari Malaysia,” katanya.
















