fbpx
PENGUNDI muda kini lebih berminat mendapatkan info berkaitan parti bertanding menerusi media sosial. - Gambar Hiasan

PRN: Video ‘troll’ tambat hati 2.8 juta pengundi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jentera parti politik yang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini perlu menggunakan video pendek berkaitan kandungan politik berunsurkan ‘troll’ sebagai salah satu cara menarik hati pengundi muda untuk memilih calon pilihan mereka.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd. Muis berkata, kandungan berunsurkan ‘troll’ dilihat sebagai salah satu cara yang pantas dan senjata paling ampuh sepanjang tempoh kempen PRN.

PRN kali ini melibatkan kira-kira 2.8 juta pengundi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun yang layak mengundi di enam buah negeri.

Kamus Oxford mentafsirkan ‘troll’ sebagai perbuatan yang bersifat menyerang dan provokatif yang dimuat naik sebagai catatan di media sosial bagi membangkitkan perasaan marah dan kecewa.

Istilah itu turut diguna pakai secara meluas oleh rakyat Malaysia dalam menggambarkan kandungan-kandungan media sosial yang bersifat mengejek dan sindiran.

“Pengundi muda bergantung sebanyak 80 peratus kepada media sosial dalam bab politik. Bahan paling senang untuk pengaruhi mereka ialah dengan membuat kandungan politik melalui video pendek kurang seminit.

“Sebab itu, kandungan ‘troll’, klip-klip video disunting pendek memang disukai dan sangat berkesan untuk memikat pengundi muda walaupun apa yang disampaikan mungkin bersifat fitnah dan tidak memberi gambaran sebenar,” kata Mujibu kepada Kosmo!.

Menurut beliau, pengundi kemudian akan membuat tafsiran sendiri yang akhirnya membentuk pemikiran politik.

Tambahnya, trend terbaharu itu memaksa parti politik membentuk pasukan media sosial yang efisien dan berkesan untuk menguasai pemikiran golongan muda.

“Pengalaman lalu menunjukkan pembangkang sentiasa berada di hadapan dalam bab ini kerana pengundi muda menjadi penentu PRN kerana jumlah mereka yang ramai yang tertumpu kepada isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan,” katanya.

Parti politik perlu menyediakan pasukan media sosial yang mantap bagi membuat kandungan video di media sosial berbentuk ‘troll’ untuk memikat hati pengundi muda. – Gambar hiasan

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, pengundi muda lebih memberi fokus kepada isu nasional berbanding masalah tempatan di sesebuah Dewan Undangan Negeri.

“Jika mereka ini balik membuang undi di kampung, ia akan menenggelamkan isu setempat. Jadi, keutamaan parti politik ialah menjelaskan isu nasional seperti ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Sivamurugan Pandian berkata, majoriti pengundi muda tiada ikatan dengan parti-parti politik.

Sehubungan itu, katanya, golongan itu perlu didekati oleh parti politik melalui pelbagai platforn dalam usaha menarik sokongan mereka.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pembangunan Manusia Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakob pula berkata, kempen fizikal sudah tidak relevan terutamanya selepas negara dilanda Covid-19.

“Ia lebih mudah kerana pe­ngundi tidak perlu lagi keluar untuk mendengar ceramah, tetapi hanya duduk di rumah sahaja mereka boleh mendapatkan pelbagai informasi dengan mudah,” katanya.

Selangor mencatatkan pengundi muda terbanyak PRN kali ini iaitu 274,194 diikuti Kedah (104,284), Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264) dan Negeri Sembilan (55,017).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN